IKHLAS failkan saman ke atas KKM kerana tindakan serbu permis Vape

Pertubuhan Ikatan Usahawan Kecil dan Sederhana Malaysia (Ikhlas) hari ini memfailkan saman terhadap Ketua Pengarah Kesihatan dan tiga yang lain untuk menuntut perisytiharan bahawa tindakan menyerbu dan merampas peranti, mod dan cecair rokok elektronik, vape milik ahli-ahli di bawah pertubuhan itu tidak sah, salah dan terbatal.


IKHLAS failkan saman ke atas KKM kerana tindakan serbu permis vape (Gambar Hiasan)
Ikhlas yang diwakili peguam Zulhasmi Zakaria memfailkan writ saman dan pernyataan tuntutan itu di Mahkamah Tinggi di sini.

Presiden Ikhlas, Mohd. Ridzuan Abdullah dan beberapa orang peniaga vape di Negeri Sembilan dan Johor Bahru turut hadir ketika writ saman difailkan.


Selain Ketua Pengarah Kesihatan, Ikhlas turut menamakan Ketua Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Majlis Bandaraya Johor Bahru dan Ketua Polis Negara (KPN) masing-masing sebagai defendan pertama hingga keempat.

Ikhlas selaku pihak plaintif mendakwa telah mengalami kerugian dan kesusahan kerana tidak dapat berniaga ekoran takutkan serbuan oleh pihak penguat kuasa atas dakwaan, vape adalah haram.

Pihak plaintif sehubungan itu memohon perisytiharan antaranya, pengharaman penjualan vape melalui penguatkuasaan peringkat negeri terutamanya oleh Pihak Berkuasa Tempatan (defendan ketiga) adalah bertentangan dengan undang-undang.


Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) itu sehubungan itu menuntut pihak defendan memulangkan kembali barang peranti, mod dan cecair perasa yang dirampas kepada ahli-ahli plaintif dalam masa tujuh hari, ganti rugi am dan ganti rugi khas.

Pihak plaintif juga menuntut ganti rugi teruk sebanyak RM1 juta. - Utusan Online


No comments