Isu Bauksit: MB Terengganu minta SPRM siasat pegawai penguat kuasa

KEMAMAN – “Kalau boleh saya mahu tutup aktiviti bauksit ini esok dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) diminta menyiasat ketelusan pegawai penguat kuasa,” kata Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman.


terengganu isu bauksit
Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman (dua, kanan) meninjau kerosakan pada jalan Felda Neram-Bukit Goh akibat aktiviti perlombongan bauksit selepas diberi taklimat aktiviti perlombongan bauksit di Felda Neram 1 hari ini. - Foto BERNAMA
Ahmad Razif yang tegas menangani isu tersebut berkata demikian berikutan masalah operasi bauksit yang masih gagal ditangani.

“Saya cukup hairan bila penguatkuasaan dilakukan 24 jam tetapi masalah ini tak dapat diselesaikan dan ada tempat simpanan sementara yang dikesan di atas tanah milik kerajaan. Kami tak pernah benarkan perlombongan bauksit di Terengganu, kenapa tindakan tidak diambil oleh pegawai? Adakah mereka cuai dalam melakukan tugas?.


“Saya tidak akan berkompromi dengan mana-mana pegawai dan penguat kuasa yang tidak ada integriti yang menjadi tali barut pengusaha bauksit dan saya minta SPRM siasat dan tangkap mana-mana pegawai mahupun penguat kuasa yang terlibat,” katanya dalam sidang media selepas mengadakan lawatan kerja ke Felda Neram 1 yang terjejas akibat aktiviti bauksit di sini hari ini.

Ahmad Razif berkata siasatan yang boleh dilakukan SPRM termasuklah ketirisan maklumat operasi serta integriti penguatkuasa dan pegawai samaada yang disogok wang oleh pengusaha bauksit.

Ahmad Razif berkata pihaknya juga mahu Konsortium Perkapalan Kemaman Sdn Bhd (KPKSB) di bawah Terengganu Incorporated untuk merujuk kepada penasihat undang-undang bagi menghentikan operasi mengeksport bauksit di Pelabuhan Kemaman.

“Saya nak KPKSB dan Terengganu Incorporated dapatkan nasihat undang-undang supaya aktiviti eksport ini dapat dihentikan segera dan kalau boleh esok pun kami nak tutup aktiviti bauksit melalui pelabuhan ini sebab ia menyusahkan banyak pihak terutamanya penduduk di daerah ini.

“Saya juga mahu Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Terengganu supaya menghantar surat bantahan kepada PTG Pahang yang mengeluarkan surat bagi membenarkan pengusaha bauksit melalui jalan di Felda Neram dari Bukit Goh, Pahang,” katanya.

Ahmad Razif berkata, pihaknya mahu penguatkuasaan dan operasi bersepadu terus dilakukan oleh pihak berkuasa terutamanya Polis Diraja Malaysia, Jabatan Pengangkutan Jalan dan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat.


“Sekarang ini, kami difahamkan kerajaan pusat melalui keputusan Kabinet telah mengeluarkan surat penangguhan terhadap pengusaha bauksit di Pahang supaya ditangguhkan selama tiga bulan untuk dikaji dan dilihat semula sama ada diputuskan untuk dihentikan,” katanya.

Keluasan kawasan bauksit Terengganu ialah 9,935 ekar meliputi kawasan Neram, Jabor dan Perasing, ada di antaranya bauksit milik persendirian, tabung amanah warisan dan milik kerajaan. – BERNAMA



No comments