Jenazah Almarhum Tunku Jalil akan dimakamkan selepas Zohor

Johor Baharu – Jenazah Almarhum Tunku Laksamana Johor, Tunku Abdul Jalil Sultan Ibrahim, 25, mangkat pada pukul 7.11 malam semalam di Hospital Sultanah Aminah (HSA) di sini akibat kanser akan dimakamkan selepas waktu Zohor hari ini.


Tunku Jalil

Yang Dipertua Jumaah Majlis Diraja Johor, Datuk Abdul Rahim Ramli, yang mengumumkan berita kemangkatan itu, berkata, orang ramai diberi peluang memberi penghormatan terakhir pada pukul 9.00 pagi hingga 11.30 pagi hari ini di Bilik Singgahsana, Istana Besar.


Abdul Rahim menambah, penghormatan untuk orang kenamaan pula akan bermula pada pukul 11.30 pagi hingga 12.30 tengah hari, sebelum jenazah disembahyangkan dan dimakamkan di Makam DiRaja Mahmoodiah di sini selepas waktu Zohor.

Beliau berkata, jenazah Almarhum akan dibawa menggunakan pedati yang akan ditarik oleh Askar Timbalan Setia Johor melalui Jalan Istana Besar terus ke makam tersebut sepanjang tiga kilometer.

Turut akan mengiringi jenazah ialah Sultan Ibrahim serta anakanda-anakandanya yang lain, kata beliau.

Ujar beliau, Almarhum akan disemadikan di sebelah kanan makam nendanya Almarhum Sultan Iskandar Almarhum Sultan Ismail yang mangkat pada 22 Jan 2010, atas permintaan Tunku Abdul Jalil sebelum ini.


Tunku Abdul Jalil diputerakan pada 5 Julai 1990, disahkan menghidapi kanser hati tahap empat sejak Disember tahun lepas dan pernah menjalani pemindahan hati di sebuah hospital pakar di Guangzhou, China sebelum ini.

Bagaimanapun, penyakit Almarhum dilaporkan kembali menyerang sejak awal tahun ini, lapor Kosmo.



No comments