Terkini

KDN persoal laporan portal berita, Malaysia tangga ke 8 ramai pelacur

Kuala Lumpur – Kementerian Dalam Negeri (KDN) mempersoalkan laporan dikeluarkan portal berita yang meletakkan Malaysia di kedudukan kelapan negara yang paling ramai mempunyai pelacur.


KDN persoal laporan portal berita, Malaysia tangga ke 8 ramai pelacur
KDN persoal laporan portal berita, Malaysia tangga ke 8 ramai pelacur
Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata, laporan dikeluarkan portal berita itu tidak mempunyai satu asas kajian yang kukuh dan lebih kepada persepsi liar.

“Atas kajian apa yang mereka lakukan? Tiada satu bentuk kajian saintifik untuk meletakkan Malaysia dalam kedudukan itu (kelapan). Tiada bukti dan lebih kepada persepsi untuk memburukkan imej Malaysia,” katanya.


Katanya, dunia mengetahui Malaysia menentang industri pelacuran dan perkhidmatan seks dan kajian itu lebih bersifat berat sebelah.

Beliau memberitahu, polisi Malaysia bersifat mesra pelancong asing tidak ‘menghalalkan’ aktiviti pelacuran yang turut bertentangan dengan ajaran Islam.

Thecoverage.my yang menyiarkan laporan di portal berita mereka baru-baru ini memetik kajian dilakukan seorang pengkaji, Denis Foynes yang turut mendakwa tiga juta individu melancong ke seluruh dunia untuk mendapatkan khidmat seks.

Kajian itu meletakkan Malaysia di tangga kelapan dengan nisbah 52 pekerja seks bagi 10,000 penduduk negara ini berbanding Venezuela di tangga pertama iaitu 119 pekerja seks untuk 10,000 individu.

Sementara itu Pensyarah di Pusat Pengajian Psikologi dan Pembangunan Manusia Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Professor Dr Rohany Nasir memberitahu, kajian yang dikeluarkan itu mungkin bersifat rambang.

Beliau berkata, kebanyakan pekerja seks yang ditahan polis bukan rakyat tempatan dan kebanyakan mereka adalah warga asing yang memasuki negara ini menggunakan pas pelajar dan visa pelancong.

“Jika kajian itu benar maka pihak berkuasa terutama Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Imigresen Malaysia perlu memperketatkan syarat kemasukan pelancong asing ke negara ini,” katanya, lapor Harian Metro.



No comments