Terkini


Kebakaran: Dua Keluarga Tinggal Sehelai Sepinggang di Sungai Petani

SUNGAI PETANI - Dua keluarga tinggal sehelai sepinggang selepas rumah mereka musnah terbakar dalam kejadian di Rumah Pangsa Paya Nahu di Jalan Inai di sini, petang kelmarin.


Dua Keluarga Tinggal Sehelai Sepinggang Di Sungai Petani (Foto Sinar Harian)
Mangsa, Norazlan Saad, 42, berkata, ketika kejadian dia tiada di rumah dan mengetahuinya selepas diberitahu oleh jirannya ketika sedang minum di gerai berhampiran.

"Selepas pulang menangkap ketam di Pulau Tiga, Semeling, saya singgah minum di sebuah gerai.


"Tiba-tiba jiran saya datang memaklumkan yang rumah saya berasap dan terbakar," katanya.

Menurutnya, sejurus mengetahui kejadian itu, dia terus berlari ke arah rumahnya, namun dihalang oleh rakan-rakan ketika sampai di tangga.

"Ketika itu, rakan-rakan mendakwa mereka terdengar bunyi letupan dari peti ais di bahagian dapur ketika cuba memadam kebakaran,” katanya.

Katanya, biarpun tinggal sehelai sepinggang, namun dia bersyukur semua ahli keluarganya selamat.

"Ketika kejadian isteri saya keluar bekerja manakala enam anak berusia antara dua hingga 22 tahun tiada di rumah,” katanya.

Sementara itu, Pegawai Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri, Ahmad Naufal Abdullah berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian pada jam 6.57 petang.

“Ketika tiba di tempat kejadian, api sudah marak membakar dua rumah di tingkat empat itu.

“Selain memadam api di dalam rumah, kami berusaha mengawal api dari luar kerana bimbang akan merebak ke rumah sebelah. Api berjaya dipadamkan sepenuhnya dalam masa 15 minit," katanya.

Menurutnya, kerja-kerja pemadaman itu melibatkan 11 jentera bersama 50 pegawai dan anggota yang diketuai oleh Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Sungai Petani, Pegawai Bomba Kanan 11 Mohd Hafizul Ishak termasuk bomba sukarela.

“Punca sebenar kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan,” katanya.

Dalam pada itu, lima anak mangsa yang bersekolah akan dibantu memandangkan semua kelengkapan sekolah mereka musnah terbakar.


Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengangkutan dan Perumahan, Datuk Tajul Urus Mat Zain berkata, lima pelajar terbabit akan menerima sumbangan pakaian sekolah.

“Memandangkan sesi persekolahan makin hampir, mereka lebih memerlukan pakaian sekolah dan kita akan bekalkan setiap seorang dua pasang baju sekolah.

"Kedua-dua keluarga ini juga akan dipindahkan ke rumah kosong di kawasan flat itu," katanya .

Tajul Urus berkata, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) juga akan menghulurkan bantuan kepada mangsa dalam masa terdekat.

Sumber: Sinar Harian


No comments