Top Ad unit 728 × 90

recent

Kesatuan Gesa Kerajaan Tolong Rakyat, Bukan Suruh Buat #2Kerja

Putrajaya seharusnya membantu rakyat dengan strategi berkesan bagi memastikan mereka mempunyai pendapatan mencukupi, dan bukannya menggalakkan mereka melakukan 2 kerja, kata Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC).


Kesatuan Gesa Kerajaan Tolong Rakyat, Bukan Suruh Buat #2Kerja (Foto FreeMalaysia Today)
Setiausaha Agung MTUC, N Gopal Krishnam berkata, kenyataan Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti) Datuk Ahmad Maslan tidak membantu, sebaliknya menggesa Putrajaya untuk melaksanakan pendekatan berbeza tanpa mengira pekerja daripada sektor awam atau swasta.

"Idea sama dibangkitkan beberapa tahun lalu. Oleh itu MTUC menggesa kerajaan untuk tidak membuat kenyataan sama dan tidak menggalakkan rakyat untuk membuat 2 kerja," katanya dalam satu kenyataan hari ini.


Ahmad sebelum ini dilaporkan berkata kerajaan menggalakkan mereka berpendapatan rendah melaksanakan 2 kerja dan tindakan itu turut dilakukan oleh penduduk di negara-negara lain.

BACA: “Saya ada 3 kerja, ramai dah di Malaysia buat #2kerja” - Ahmad Maslan

Kenyataannya itu mengundang kritikan banyak pihak, terutamanya pengguna laman media sosial.

Gopal berkata, kajian menunjukkan mereka yang melakukan 2 kerja akan memberikan impak negatif kepada kesihatan dan produktiviti pekerja.

"Mereka tidak mempunyai masa berkualiti bersama keluarga, dan jika ia berlaku, kita khuatir lebih banyak masalah sosial akan berlaku dari segi jangka masa panjang," katanya.

Beliau berkata, sekiranya kerajaan berhasrat meneruskan skim 2 kerja, ia akan memberikan kesan kepada produktiviti organisasi dan negara.

MTUC katanya akan membawa perkara itu kepada Kementerian Sumber Manusia dan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak untuk mencari cara menaikkan kadar bayaran gaji pekerja.

"Kami berharap persatuan majikan tidak akan menolaknya."

Sementara itu, Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Ceupacs) Datuk Azih Muda berkata, melakukan lebih dari 1 pekerjaan akan memberikan kesan terhadap prestasi pekerja untuk penjawat awam.

"Kami tidak bersetuju dengan kenyataan Ahmad, sudah tentu kami menggalakkan mereka menambah pendapatan jika mampu, namun apa yang merisaukan ia akan memberikan kesan kepada prestasi dan produktiviti mereka," katanya.

"Kami tidak mengatakan (2 kerja) tidak baik tetapi ia akan memberikan implikasi kepada perkhidmatan kerajaan."

Kerajaan katanya perlu memahami mereka yang melakukan 2 kerja terpaksa melakukannya dan tidak mempunyai pilihan.

"Bukan itu caranya. Ini demi kelangsungan hidup. Mereka terpaksa melakukan 2 kerja walaupun memberikan kesan kepada produktiviti."

"Katakan kerja kita habis jam 5, kemudian kerja ke-2 habis lewat malam, apabila bekerja lebih dari 16 jam, kita akan kehabisan tenaga, jadi bila keesokannya kita kerja kita akan mengantuk," katanya.


Beliau turut menyuarakan rasa khuatir harta pejabat digunakan untuk pekerja melakukan kerja ke-2 mereka seperti perniagaan atas talian.

"Kami tidak menggalakkan penjawat awam melakukan 2 kerja kerana akhirnya rakyat akan menyalahkan kami kerana tidak memberikan perkhidmatan yang baik." – The Malaysian Insider: 28 Disember, 2015.

P/s: Rakyat diminta buat 2 kerja demi untuk menampung kenaikan kos sara hidup yang semakin tinggi. Kos sara hidup naik mendadak kerana kenaikan pelbagai barang dan perkhidmatan seperti kadar TOL, harga minyak, perlaksanaan GST, kenaikan tambang pengangkutan awam dimana kesemua kenaikan ini akan mendorong kenaikan harga barang dan perkhidmatan.

Bila harga TOL naik, ada menteri minta guna jalan biasa tak berTOL, Bila harga ayam naik, ada menteri minta jangan makan ayam. Bila harga minyak minta naik, ada menteri minta kongsi kenderaan atau guna pengangkutan awam. BILA SEMUA NAIK..  Menteri ini minta rakyat buat #2kerja.. BIJAK.. BIJAK... :)



Kesatuan Gesa Kerajaan Tolong Rakyat, Bukan Suruh Buat #2Kerja Reviewed by Adam Hakimie on December 28, 2015 Rating: 5

No comments:

All Rights Reserved by OhDunia.My © 2014 - 2015
Share by GFXFree.Net

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.