Namewee tayang ‘Banglasia’ di Singapura, umum rancangan tayangan global

Bintang YouTube dan pengarah kontroversi Namewee mengumumkan rancangan tayangan seluruh dunia filemnya yang diharamkan di Malaysia, “Banglasia” semalam, ketika filem berdurasi 90 minit itu ditayangkan buat pertama kali di Asia Tenggara sempena Festival Filem Antarabangsa Singapura.


Namewee
Namewee tayang ‘Banglasia’ di Singapura, umum rancangan tayangan global
“Banglasia” siap pada 2013, tetapi tidak pernah ditayangkan selepas Lembaga Penapisan Filem Malaysia memutuskan 31 adegan filem menggambarkan persekitaran Malaysia sebagai tidak tepat dan mengelirukan, mengesyorkan beberapa adegan perlu dipotong atau menjalani penggambaran semula bagi membolehkan kelulusan tayangan diberi.


“Jika anda potong 31, anda hanya ada 10 minit daripada 90 minit filem asal,” kata Namewee atau nama asalnya Wee Chee Meng kepada The Malaysian Insider dalam temubual eksklusif sebelum tayangan filem itu semalam.

Walaupun selepas suntingan dan menamakan kembali filem itu menjadi “Banglaman”, mereka masih tidak memperoleh kelulusan lembaga penapis. Kejadian itu begitu mengecewakan pengarah tersebut yang selama ini begitu optimis.
“Beliau tidak membuat filem lain selama 2 tahun,” kata penerbit filem Fred Chong mengenai Namewee.

Bagaimanapun, ia tidak mengambil masa panjang untuk Namewee dan krew filemnya merawat kekecewaan mereka, dan usaha sedang dijalankan untuk membolehkan filem itu ditayangkan.

“Banglasia” mendapat perhatian antarabangsa apabila ia menjadi sebahagian daripada barisan filem yang ditayangkan di Festival Filem Asia Osaka dan Festival Filem Asia New York awal tahun ini.

Pasukan itu juga mengumumkan semalam mengenai projek tajaan awam menggunakan Kickstarter memperoleh AS$500,000 (RM2.1 juta).

Projek tersebut, yang terbesar di Asia, akan membenarkan filem itu menampung kerugian dialami supaya ia boleh dimuat naik ke Internet bagi tayangan seluruh dunia tanpa halangan.

Namewee menjadi tumpuan ramai apabila pada 2007 dia memuat naik sebuah video lagu kebangsaan “Negaraku” yang melalui proses remix di YouTube. Sejak itu, beliau mendapat sanjungan dan kritikan atas usahanya menggambarkan situasi politik dan masyarakat Malaysia tanpa berselindung.

Pada 2011, imej budak nakalnya meraih perhatian awam apabila filem keduanya, Nasi Lemak 2.0 ditayangkan di 60 pawagam seluruh negara.

Walaupun filem itu, yang menggambarkan pelbagai watak daripada komposisi etnik pelbagai kaum di Malaysia disambut baik, Namewee terus berdepan kritikan mendakwa beliau seorang rasis dan tidak patriotik.

Beliau menegaskan “Banglasia”, yang menjalani penggambaran di sekitar Chinatown, Kuala Lumpur dengan bajet RM2 juta, bukanlah filem yang sengaja dibuat untuk mencetuskan kontroversi.

“Saya tidak tahu filem itu akan diharamkan, jika tidak kami tidak akan laburkan begitu banyak duit untuk buat,” katanya kepada The Malaysia Insider.

“Kalaulah saya tahu, saya akan buat filem bajet kecil saja.”

“Banglasia”, yang merupakan filem ke-4 arahannya, dibintangi Saiful Apek, Nirab Hossain, Atikah Suhaime, Lao Zha Bo dan Namewee sendiri.

Ia mengisahkan 3 watak utama iaitu seorang pekerja Bangladesh, wanita yang diminatinya serta seorang aktivis Malaysia – dalam sebuah kisah jenaka berlatarbelakangkan zaman perang. Filem itu menyentuh isu pekerja asing, nasionalisme, rasisme dan korupsi.

Namewee berkata, lembaga penapisan memberitahunya adegan tembakan senjata api di jalanan tidak dibenarkan kerana ia menggambarkan Malaysia sebagai kawasan merbahaya, sementara adegan menggambarkan jalan raya dipenuhi pekerja asing dianggap tidak tepat.

Tayangan di Pawagam Lido Shaw, Singapura semalam dipenuhi penonton membuktikan ia menjadi kenangan manis pahit untuk pengarah yang pendiam dan kurang diiktiraf ini. Peminat filem berbaris panjang di pintu pawagam sejam lebih awal daripada tayangan, dan ia menerima tepukan gemuruh sebaik saja filem itu melabuhkan tirainya.

“Ini bukanlah kali pertama filem ini ditayangkan… tetapi inilah yang paling hampir dengan tempat sendiri,” kata Namewee.


Walaupun beliau bersyukur filem itu dapat ditayangkan dan menerima sambutan baik penonton, harapannya paling besar ialah “Banglasia” dapat ditayangkan di negara sendiri untuk penonton yang sepatutnya menonton filem tersebut.

Untuk itu, beliau memohon penyokong dan orang awam menyokong projek Kickstarter yang akan dimulakan pada 9 Disember, 2015 dan berlangsung selama 40 hari.

“Kami memberi peluang kepada semua penyokong,” kata penerbit filem Fred Chong.

“Jika anda mahu menyokong Namewee, inilah caranya.” – The Malaysian Insider: 4 Disember, 2015.


No comments