#PAU2015: Najib dan Muhyiddin Bersalaman Tapi Tidak Berpelukan

Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Razak, memulakan ucapan penggulungan di hari terakhir Persidangan Agung UMNO 2015 dengan mempertahankan diri beliau sebagai ketua parti.


Najib, Muhyiddin bersalaman tapi tidak berpelukan (Gambar FMT)
Tanpa menyebut nama, Najib mengingatkan ahli parti bahawa orang Melayu diajar supaya menghormati orang lain dan patuh kepada pemimpin, malah Islam turut menyebut soal taat pada pemimpin.


“Saya Najib Razak sebagai Presiden UMNO memilih untuk berjiwa besar, saya memilih berjiwa besar menghulur silaturahim mengukuh UMNO.

“Namun dengan tegas saya mahu nyatakan, ada mana-mana pihak bertentangan dengan saya bahkah sebenarnya (mereka) tolak titik perdamaian UMNO kita ini.

“Kalau ada yang menentang bermakna bukan sahaja (mereka) tentang Najib Razak sebagai presiden parti malah ternyata (mereka) menolak untuk mencari titik persamaan,” katanya disambut dengan tepukan daripada perwakilan yang hadir.

Seusai mengeluarkan kata-kata itu Perdana Menteri mengajak semua pemimpin UMNO serta perwakilan parti supaya bersama-sama berdamai.

Ketika semua pemimpin tertinggi parti Melayu itu bangun menyahut seruan Najib, Timbalan Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin kelihatan berat untuk bangun bersama-sama kepimpinan tertinggi yang lain.

Muhyiddin akhirnya bangun dan menghulurkan tangan untuk bersalaman dengan Najib, namun tidak berpeluk seperti tradisi yang dilakukan sebelum ini.

Berjabatnya dua pemimpin utama UMNO itu menyemarakkan suasana Dewan Merdeka, dengan tepukan daripada perwakilan.

“Bersalaman, tetapi kami tidak bercakap,” ujar Najib kepada pemberita sewaktu sidang media tidak lama kemudian.

Sebelum ini, sewaktu sesi perbahasan, rata-rata perwakilan menggesa agar Najib dan Muhyiddin berpelukan sebagai tanda pemimpin tertinggi parti itu sudah berdamai.

Tindakan Najib dan Muhyiddin itu sekaligus telah mengecewakan perwakilan-perwakilan yang menuntut kedua mereka bersatu.


Mengulas lanjut, Najib yang juga Perdana Menteri menyatakan bahawa perwakilan telah menunjukkan isyarat jelas yang menolak pertelagahan di dalam parti.

“Saya nampak bahawa mesej dari perwakilan jelas bahawa perhimpunan agung merupakan kuasa tertinggi di dalam parti.

“Kita tidak mahu pertelagahan di dalam parti. Itu tujuan utama kita. Mesej ini jelas kita mahu berdamai dan selesaikan,” katanya lagi.


No comments