Penduduk gempar temui dua mayat lelaki terapung di Sungai Langat

Banting – Beberapa penduduk yang tinggal berhampiran Sungai Langat, di sini, digemparkan dengan penemuan dua mayat lelaki yang terapung di sungai berkenaan, petang semalam.


Penduduk gempar temui dua mayat lelaki terapung di Sungai Langat
Penduduk gempar temui dua mayat lelaki terapung di Sungai Langat
Difahamkan, mayat pertama ditemui di belakang kilang dan diangkat sekumpulan nelayan yang melalui sungai berkenaan sebelum menghubungi anggota bomba, jam 1 petang.


Ketua Polis Daerah Banting Superintendan Mohd Zailan Tasir berkata, mayat lengkap berpakaian itu dikenal pasti sebagai Mohamed Sofiyuddin Kamar, 28, yang dilaporkan lemas ketika keluar memancing pada petang 1 Disember lalu.

Menurutnya, mangsa dihantar ke Hospital Banting untuk proses bedah siasat.

“Kami meminta bantuan ahli keluarga untuk membuat pengecaman dan mereka mengesahkan mangsa dilaporkan hilang pada 1 Disember lalu berdasarkan pakaiannya.

“Dia dilaporkan hilang selepas keluar memancing dan keretanya ditemui berhampiran Sungai Lebohan Ampang, dekat sini,” katanya.

Dalam pada itu, Mohd Zailan berkata, mayat kedua ditemui dua jam kemudian oleh pekerja mengangkat sampah di Jambatan Kampung Labohan Dagang, 50 meter dari lokasi mayat pertama dijumpai.

Katanya, mayat ditemui di perangkap sampah sebelum pekerja berkenaan menghubungi anggota bomba dan polis. Berdasarkan siasatan badan mangsa mempunyai kesan tetakan di leher, tangan kiri, selain kepalanya turut dipercayai dipukul dengan objek tumpul serta tangannya berikat.


“Pemeriksaan anggota forensik polis mendapati mangsa dipercayai warga asing dan berkemungkinan mangsa bunuh,” katanya.

Mohd Zailan berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh, lapor Harian Metro.


No comments