Penyokong gesa Muhyiddin desak Najib letak jawatan ketika perhimpunan Umno

Penyokong atas talian Timbalan Presiden Umno Tan Sri Muhyiddin Yassin menggesanya mendesak Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak agar meletak jawatan sekiranya diberikan peluang untuk berucap pada perhimpunan agung parti itu minggu hadapan.


Gambar Facebook Muhyiddin
Dapat dilihat di dalam gambar ini anak Melayu Johor yang menentang penubuhan Malayan Union kerana percaya masa depan negara ini harus bebas daripada kongkongan dan campur tangan asing, tulis Timbalan Presiden Umno Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam akaun Facebooknya. – Gambar Facebook, 4 Disember, 2015.
Hasrat itu dinyatakan sebahagian besar mereka yang meninggalkan komen di laman Facebook Muhyiddin pada posting bekas timbalan perdana menteri itu berlatarbelakangkan gambarnya bersama gambar perarakan Umno menentang Malayan Union.

“Dapat dilihat di dalam gambar ini anak Melayu Johor yang menentang penubuhan Malayan Union kerana percaya masa depan negara ini harus bebas daripada kongkongan dan campur tangan asing.

“Sejarah membuktikan anak Johor pantang berundur mempertahankan kedaulatan tanah tumpah darah mereka,” tulis Muhyiddin di laman Facebook rasminya pagi ini.


Muhyiddin turut meminta pengguna Facebook memberikan cadangan apa yang perlu beliau sampaikan sekiranya dibenarkan berucap pada Perhimpunan Agung Umno bermula 8 Disember ini.

Pengikutnya di Facebook meninggalkan lebih 700 komen dan hampir 10,000 tanda “LIKE” hanya selepas beberapa jam Muhyiddin menulis posting itu.

“Saya mahu Najib Razak berundur,” tulis seorang pengguna Facebook Azhier Farhan di laman Facebook Muhyiddin.

“Minta Datuk Seri Najib letak jawatan,” kata Dzulhilmi Zainuddin di laman sama.

“Yang penting Najib undur Tan Sri,” tulis seorang pengguna Facebook dengan nama Hj Fadilah Hj Dillah.

Sementara Afnan Shah pula menulis: “Tan Sri cakap pasal 1MDB bagi penerangan setelusnya kepada para perwakilan dan isu RM2.6 bilion.

“Biar pahit untuk mengatakan tapi yang benar mesti di tegakkkan..Ini yang rakyat mau dengar dari pemimpin Umno sendiri yang selama ini melaungkan rakyat di dahulukan.”

Tulisan itu adalah di antara komen yang ditinggalkan sebagai respons terhadap status terkini Muhyiddin di Facebook.

Selain itu, seorang pengguna turut meluahkan kekecewaannya yang melihat Muhyiddin seperti tidak bersungguh-sungguh menentang Najib seperti dilakukan bekas perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Nak tentang Jib (Najib) tapi tak berani nyata bulat-bulat macam Tun M (Dr Mahathir). Susahlah macam ini,” tulis Wilson Wang.

Status Muhyiddin pagi ini dilihat sebagai usaha terbarunya bagi menggembling sokongan atas talian terhadap usaha berterusannya mengkritik pentadbiran Najib.


Sebelum ini beliau memuat naik gambarnya bersama Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dan meluangkan masa menjamu makan tengah hari bersama pengikut laman Facebook beliau yang berjaya meneka nama bekas johan debat Asia itu. – The Malaysian Insider


No comments