Perbicaraan kes Myvi korbankan 3 beranak di Lebuhraya DUKE masuk hari ke-7

Seorang saksi memberitahu Mahkamah Trafik Kuala Lumpur hari ini beliau mengambil sampel cat daripada 3 kenderaan yang terlibat dalam kemalangan tragis di Lebuhraya Duta-Ulu Klang (DUKE) yang meragut nyawa 3 beranak Mei lepas untuk dianalisis.


Perbicaraan 2 pemandu Myvi yang terlibat dalam kemalangan di DUKE sehingga mengorbankan 3 beranak masuk hari ke-7 hari ini. – Gambar fail The Malaysian Insider, 7 Disember, 2015
Ahli kimia Jabatan Kimia Malaysia, Mohd Amir Husna Nik Alli@Zulkifli berkata sampel cat daripada 2 Perodua Myvi berwarna kuning dan putih serta Mitsubishi Pajero berwarna hitam itu diambil dan dianalisis untuk menentukan kesan pelanggaran pertama yang berlaku antara 3 kenderaan itu.

BACA: Geng Myvi berlumba punca kemalangan maut 3 beranak termasuk bayi?



"Saya melakukan pemeriksaan fizikal pada 3 kenderaan dengan melihat kepada kerosakan yang penting dan berkaitan pada kenderaan tersebut. Kemudian saya juga mengambil sampel cat untuk dibuat analisis," katanya menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya Nadiah Malek Fauzi.

Beliau berkata demikian pada perbicaraan 2 pemandu Myvi, Siti Noor Aini Mohd Said, 36, dan Mohammad Fizal Reza Jamauddin, 31, yang didakwa memandu secara berbahaya kepada orang awam dan menyebabkan kematian Fairuz Nizam Husain, 35, dan isterinya Nova Safitri Azhari, 27, serta bayi mereka, Nur Firuza Annisa, 6 bulan.

Aini dan Fizal didakwa melakukan kesalahan itu di KM6 Lebuhraya DUKE dari arah Ulu Klang menghala Jalan Duta antara 12.31 hingga 12.35 tengah malam 2 Mei lepas.

BACA: Bukti video rakaman CCTV: Bukan 6 tapi 8 kereta Myvi terlibat?


Amir merupakan saksi ke-5 yang dipanggil menyambung semula keterangan pada perbicaraan yang masuk hari ke-7, hari ini.

Saksi itu menjelaskan beliau mengambil sampel cat daripada ketiga-tiga kenderaan yang melekat pada kenderaan terlibat.

BACA: Adik mangsa kemalangan maut Duke ingin jumpa admin Kelab Myvi

Ketika pemeriksaan balas peguam Omar Bakhi Ahmad yang mewakili Aini, saksi itu memberitahu beliau menentukan kesan pelanggaran pertama berdasarkan pemeriksaan terhadap kerosakan dan kesan perpindahan cat pada kenderaan yang terlibat kemalangan.

"Berdasarkan kerosakan dan arah pergerakan perpindahan cat, yang saya temui dan juga melihat kepada kerosakan atau impak paling kuat yang biasanya boleh menunjukkan sebagai “petunjuk”, itu adalah kesan pelanggaran pertama," katanya yang memberitahu ia adalah cara untuk mengesahkan pelanggaran pertama.

Amir berkata apa yang dimaksudkan dengan pelanggaran pertama ialah sentuhan pertama yang berlaku antara 3 kenderaan yang terlibat dalam kemalangan itu.

Saksi itu turut memberitahu beliau ditugaskan untuk menjalankan pemeriksaan fizikal dan menentukan kesan pelanggaran pertama yang berlaku antara 3 kenderaan itu berdasarkan permohonan pihak polis.

Menurutnya, beliau menerima 3 kenderaan untuk dibuat pemeriksaan fizikal itu pada 5 Mei 2015, 3 hari selepas kemalangan itu berlaku.


"(Semua) Kereta dibawa serentak pada 5 Mei, menggunakan trak penunda," katanya.

Pada perbicaraan hari ini Fizal diwakili peguam S.N. Seelan. Peguam pemerhati C. Leo Camoens turut hadir mewakili keluarga mangsa.

Perbicaraan di hadapan Majistret Zilfinaz Abbas bersambung esok. – Bernama, 7 Disember, 2015.


No comments