Terkini

Anggota Polis Peronda URB Patah Kaki Dirempuh Pelajar Bermotorsikal

KEPALA BATAS – Seorang anggota polis Unit Rondaan Bermotosikal (URB) patah kaki dan tangan kanannya selepas terlibat dalam kemalangan dengan sebuah motosikal Kawasaki RR 150 di Jalan Permatang Tiga, di sini semalam.



Jurucakap polis berkata dalam kemalangan kira-kira pukul 3.15 petang itu, Lans Koperal Mohd Faizudin Wahid, 25, bersama rakan setugasnya dari arah Sungai Lokan, Butterworth dekat sini menghala ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Utara (SPU).


“Semasa tiba di selekoh yang terdapat garisan berkembar di Jalan Permatang Tiga itu, motosikal Kawasaki yang ditunggang seorang remaja dari arah bertentangan bertindak memotong treler dan masuk ke laluan bertentangan.

“Motosikal berkenaan terbabas sebelum melanggar anggota URB yang bertugas di IPD SPU itu secara berhadapan,” katanya di sini hari ini.

Jurucakap itu berkata seorang lagi anggota polis tidak cedera kerana motosikal yang ditunggangnya berada di belakang motosikal Mohd Faizudin dan sempat mengelak.




Akibat perlanggaran itu, Mohd Faizudin patah kaki dan tangan kanan serta luka di badan. Dia telah dihantar ke Hospital Seberang Jaya dan dilaporkan dalam keadaan stabil.

“Penunggang motosikal berusia 17 tahun itu pula patah kaki kanan dan dihantar ke hospital sama untuk rawatan.


“Remaja lelaki yang berasal dari Penaga itu dilaporkan masih belumsedarkan diri,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah SPU ACP Azmi Adam ketika dihubungi mengesahkan kemalangan berkenaan dan siasatan masih dijalankan. – BERNAMA.


No comments