Presiden berang, penonton wanita tanggal seluar dalam di konsert Iglesias

Presiden Sri Lanka Maithripala Sirisena berang dengan anjuran konsert bintang pop Enrique Iglesias di Colombo yang menyaksikan wanita tempatan menanggalkan seluar dalam mereka ke arah penyanyi itu.


Presiden berang, penonton wanita tanggal seluar dalam di konsert Iglesias
Presiden berang, penonton wanita tanggal seluar dalam di konsert Iglesias
Sambil menyelar penganjurnya, laporan AFP memetik beliau berkata penonton seharusnya juga “disebat dengan ekor beracun ikan pari” kerana ‘tidak bertamadun.’


Pada konsert 20 Disember lalu di ibu kota Sri Lanka itu, wanita tempatan yang dilaporkan teruja berlari ke pentas untuk memeluk dan mencium penyanyi “Hero” itu sementara yang lain membaling seluar dalam ke arahnya.

“Ini adalah tindakan paling tidak bertamadun yang bertentangan dengan budaya kita.

“Saya cadangkan supaya wanita tidak bertamadun ini yang menanggalkan pakaian dalam mereka supaya disebat dengan ekor beracun ikan pari, namun mereka yang menganjurkan acara itu juga patut dihukum sedemikian,” katanya yang dipetik agensi berita itu.

Peminat Enrique membayar harga tiket antara 5,000 rupee hingga 50,000 rupee (RM149.86 hingga RM1,498.58) untuk menyaksikan persembahan langsung sejam oleh penyanyi Latin itu di stadium ragbi di Colombo, sebahagian daripada jelajah dunia “Love and Sex.”



Sebatan menggunakan ekor ikan pari beracun dikhususkan untuk penjenayah tegar di Sri Lanka dan digunakan sebagai ungkapan popular bagi menjelaskan salah laku ekstrem.

Tiada ulasan daripada penganjur tempatan, Live Events, syarikat milik bersama bintang kriket Sri Lanka, Kumar Sangakkara dan Mahela Jayawardene. - AFP



No comments