Rayuan Muhyiddin, Shafie berucap pada penggulungan ditolak MT Umno

Timbalan Presiden Umno Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata Majlis Tertinggi (MT) menolak rayuannya untuk berucap menggulung ucapan presiden dalam perhimpunan agung kali ini.


Rayuan Muhyiddin, Shafie berucap pada penggulungan ditolak MT Umno
Ia sekaligus 1 lagi langkah mengekang pemimpin nombor 2 Umno itu daripada mengkritik Datuk Seri Najib Razak di hadapan perwakilan seluruh negara yang berhimpun di Ibu Pejabat Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) sehingga 12 Disember ini.

"Saya dan Datuk (Seri) Shafie (Apdal) merayu supaya diberi berucap tetapi nampaknya tidak boleh juga.


"Dalam perbincangan itu ada yang menghalang saya. Saya tidak tahu kenapa tetapi itulah keputusannya," katanya sewaktu ditemui pemberita selepas mesyuarat MT Umno malam ini.

Menurut Muhyiddin, beliau tidak bersetuju dengan ketetapan itu yang dilihat menutup ruang buat dirinya selaku timbalan presiden serta ia bukan amalan biasa Perhimpunan Agung Umno.

"Saya tidak berapa setuju, sepatutnya bagilah ruang dan peluang kerana itu amalan biasa," katanya.

Sementara itu, Naib Presiden Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengesahkan ucapan penggulungan hanya dibuat ketua sayap Pemuda, Wanita dan Puteri.

Beliau juga mengesahkan tiada sebarang perbincangan tentang tindakan disiplin ke atas Muhyiddin dan Shafie sewaktu mesyuarat MT berlangsung sebentar tadi.


Ia sekaligus memadamkan desas-desus kemungkinan Muhyiddin dan Shafie dipecat daripada Umno ekoran kritikan mereka terhadap Najib terutamanya isu derma RM2.6 bilion dalam akaun peribadinya.

"Tidak ada perbincangan melibatkan jawatankuasa disiplin dan sebagainya. Presiden, timbalan presiden dan naib presiden masih orang sama," katanya. – TMI 9 Disember, 2015.


No comments