Shafie bidas Ku Nan tak hormat Muhyiddin sebagai Timbalan Presiden

Datuk Seri Shafie Apdal hari ini membidas Setiausaha Agung Umno Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor kerana tidak menghormati Tan Sri Muhyiddin Yassin yang dipilih secara demokratik 3 juta ahli parti Melayu itu.


Datuk Seri Shafie Apdal
Shafie bidas Ku Nan tak hormat Muhyiddin sebagai Timbalan Presiden
Naib presiden Umno itu mengingatkannya jawatan yang dipegang Tengku Adnan hanya lantikan dan berbeza dengan Muhyiddin yang dipilih menerusi pemilihan parti.

"Seumpama bila setiausaha agung bagi amaran timbalan presiden supaya jangan 'cross the line'.


"Dia (Muhyiddin) timbalan presiden, kamu (Tengku Adnan) setiausaha agung. Muhyiddin itu diundi untuk dilantik," kata Shafie dalam wawancara bersama media atas talian di pejabatnya di Kuala Lumpur pagi tadi.
Shafie mempersoalkan tindakan Tengku Adnan yang mahu orang menghormati institusi parti tapi beliau sendiri tidak menghormati pemimpin Umno.

"Budaya apa ini, kamu minta orang hormat, hormat lah," katanya.

Tengku Adnan yang dikenali sebagai Ku Nan semalam memberi amaran kepada Muhyiddin agar tidak melampaui batasan ketika berucap pada perhimpunan di Kampung Baru, Kuala Lumpur yang berlangsung atau bakal berdepan tindakan disiplin.

Muhyiddin dalam ucapannya semalam meneruskan serangan ke atas Presiden Umno Datuk Seri Najib Razak dan menggesanya berehat daripada jawatan perdana menteri sehingga selesai siasatan terhadap skandal dihadapinya, membabitkan isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan derma peribadi RM2.6 bilion.

Selepas ucapan Muhyiddin semalam, Tengku Adnan dipetik berkata, pihaknya akan menyiasat rakaman ucapan di Kelab Sultan Sulaiman itu bagi meneliti jika terdapat kesalahan dilakukan timbalan presiden Umno itu.

Tengku Adnan berkata ia akan diteliti sebuah jawatankuasa khusus bagi mengkaji sekiranya wujud perlanggaran daripada aspek perlembagaan parti.

Beliau kemudiannya mengesahkan Muhyiddin melanggar batasan dan berkemungkinan hilang jawatan akibat tindakannya itu.

Namun, Shafie mempertahankan Muhyiddin, menyifatkan teguran yang dibuat bukan bertujuan menghancurkan parti.

Katanya, setiap pandangan perlu dihormati, bukan dihukum dengan dikenakan tindakan ke atasnya.


"Muhyiddin bukan minta hendak hancurkan parti kita. Itu hanya pandangan, kena lah hormat.

"Jangan hanya minta dihormati, tapi kena juga hormat orang lain," katanya. – 8 Disember, 2015.

- See more at: http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/shafie-bidas-ku-nan-tak-hormat-muhyiddin-sebagai-timbalan-presiden#sthash.9gvn6P4S.dpuf


No comments