Siapakah 10 Individu Paling Popular Di Malaysia Dalam Tahun 2015?

DI SEBALIK pelbagai hambatan isu, pasti ada individu atau watak penting yang mencorakkannya. 2015 bukan hanya menyaksikan negara dihimpit dengan pelbagai kontroversi, namun ia turut diwarnai dengan kisah-kisah kejayaan, pahit maung bergelar ‘pejuang’ dalam pelbagai bidang yang diceburi.


Siapakah 10 individu paling popular di Malaysia dalam tahun 2015?
Siapakah 10 individu paling popular di Malaysia dalam tahun 2015?
Sepuluh individu ini antara nama yang cukup hangat diperkatakan sepanjang tahun 2015.

1) Datuk Seri Najib Tun Razak

Nama Datuk Seri Najib Tun Razak menjadi sebutan sepanjang tahun ini selepas dikaitkan dengan isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan dana politik RM2.6 bilion.


Selain itu, pentadbiran beliau turut mendapat tamparan hebat apabila akar umbi Umno sendiri mendesak beliau meletak jawatan kerana gagal menyelesaikan isu berbangkit sehingga melemahkan parti Umno.

Dalam pada itu, isu pemecatan timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin dari Kabinet benar-benar mempopularkan Najib.

2) Tun Dr Mahathir Mohamad

Aura pentadbiran bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad terus melekat di fikiran dan hati rakyat di negara ini.

Kritikan lantangnya terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menyebabkan nama pemimpin ini melonjak sepanjang tahun ini.

Antara kritikan yang dibuat ialah menggesa Najib meletak jawatan sebagai Perdana Menteri apabila beliau dikaitkan dengan pelbagai skandal antaranya seperti isu 1MDB dan dana RM2.6 bilion.

3)Tan Sri Muhyiddin Yaassin

Bekas Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mula menjadi perhatian susulan percanggahan pendapat dengan Najib berhubung skandal 1MDB.

Perselisihan pandangan itu bertambah hangat apabila tersebarnya video Muhyiddin berkaitan penubuhan syarikat pelaburan strategik negara itu dalam satu majlis tertutup Umno.

Pertembungan di antara Najib dan Muhyiddin sampai ke kemuncaknya apabila Najib memutuskan untuk menggugurkan Muhyiddin daripada barisan Kabinetnya.

Muhyiddin yang juga Timbalan Presiden Umno bagaimanapun tidak menyerah kalah. Di samping menyatakan kesetiaan tidak berbelah bahagi kepada parti, Muhyiddin menjelaskan kritikannya terhadap Najib adalah demi kesejahteraan rakyat dan negara.

4) Tengku Mahkota Johor (Tunku Ismail Sultan Ibrahim)

Nama Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim atau mesra disapa TMJ mula mendapat perhatian beberapa tahun lalu.

Namun pada 2015, kejayaan Tunku Ismail membentuk pasukan Johor Darul Takzim sehingga menjuarai perlawanan akhir Piala AFC di Stadium Central Republican, Dushanbe, Tajikistan benar-benar melonjakkan nama TMJ.

Nama putera diraja Johor ini juga sering mendapat perhatian kerana kritikan pedasnya terhadap politik dan industri sukan tanah air.

5) Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Nama Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang bukanlah sesuatu yang asing dalam dunia politik Malaysia.

Ketegasannya untuk melaksanakan undang-undang hudud bukanlah sesuatu yang baharu.

Terbaharu, nama Abdul Hadi terus diperkatakan selepas Presiden Pas itu duduk sepentas dengan Perdana Menteri dalam sebuah program di ibu negara.

Isu kerjasama politik di antara Pas dan Umno kembali menghangatkan politik negara.

6) Lim Guan Eng

Nama Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng juga turut mewarnai arena politik negara pada tahun ini.

Tidak dapat dinafikan, kenyataan yang keluar daripada mulut Guan Eng berkaitan ‘peperangan’ besar di antara kedua parti itu mengeruhkan lagi tahaluf siyasi Pakatan Rakyat yang akhirnya menyebabkan Pas keluar dari perikatan pembangkang itu.

Pakatan Rakyat akhirnya dibubarkan dan digantikan dengan Pakatan Harapan yang dianggotai DAP, PKR dan Parti Amanah Negara.

7) Abdul Rani Kulop

Digelar Raja Report Malaysia, Rani Kulop atau nama sebenarnya Abdul Rani Kulop Abdullah ‎benar-benar turut menjadi ‘buah mulut’ rakyat Malaysia pada tahun ini.

Mengenakan baret merah dan beruniform ala tentera, Rani Kulop atau mesra disapa ayah berjaya menarik perhatian rakyat kerana laporan-laporan polis yang dibuat olehnya yang dekat di hati rakyat.

8) Siti Nurhaliza

Nama Siti Nurhaliza Taruddin kembali menjadi sebutan rakyat Malaysia selepas ‘gosip’ beliau hamil mulai tersebar.

Siti kemudian memaklumkan berita sedih beliau keguguran dan memohon doa supaya peminat dan rakyat Malaysia mendoakan impiannya bergelar ibu menjadi realiti.

9) Datuk Lee Chong Wei

Selepas digantung berhubung isu doping tahun lalu, prestasi Datuk Lee Chong Wei menjadi persoalan dengan banyak pihak melihat isu sebelum itu menganggu prestasinya disamping faktor umur.

Namun Chong Wei akhirnya bangkit membuktikan beliau masih berbisa apabila kembali merangkul tiga gelaran berturut-turut iaitu di Terbuka Perancis, China dan Hong Kong.

Selepas kemenangan itu kedudukan Chong Wei melonjak naik selepas kehilangan kedudukan pemain nombor satu dunia renteran isu doping.


Kini jaguh badminton negara itu berada di landasan tepat untuk layak beraksi pada Sukan Olimpik 2016 di Rio de Janeiro, Brazil selepas menduduki ranking ketiga dunia, menurut Ranking Persekutuan Badminton Dunia (BWF).

10) Sazali Samad

Siapa tidak kenal jaguh bina badan negara, Sazali Samad. 2015 pastinya tahun paling malang buat atlet bina badan negara itu apabila beliau gagal ujian doping.

Berikutan itu, Sazali diminta tampil untuk memberikan penjelasan berhubung isu tersebut.

Selepas dikenakan hukuman penggantungan selama empat tahun, jaguh bina badan negara itu masih belum memutuskan sama ada untuk membuat rayuan atau tidak berhubung kegagalan ujian dopingnya.

Sazali, 48, dikenakan hukuman gantung empat tahun bermula 22 September lepas iaitu tarikh keputusan ujian berkenaan didapati positif.


No comments