Terkini

Tidak putus asa, Lagi ketua cawangan UMNO desak Najib letak jawatan

Tidak gentar dengan tindakan yang bakal diambil lembaga disiplin Umno, 5 lagi ketua cawangan menuntut Presiden Datuk Seri Najib Razak berundur daripada jawatannya dalam satu sidang media malam tadi.


Hamdan Abdul Rahman
Jurucakap Gabungan Ketua Cawangan Malaysia (GKCM) Hamdan Abdul Rahman berkata, tindakan 5 lagi ketua cawangan menuntut Presiden Umno Datuk Seri Najib Razak berundur bukan bertujuan melawan parti tetapi kerana sayangkan parti Melayu itu. – Gambar The Malaysian Insider
Mereka yang merupakan sebahagian Gabungan Ketua Cawangan Malaysia (GKCM) berkata, tindakan mereka itu bukan bertujuan melawan parti tetapi kerana sayangkan parti Melayu itu.

Jurucakapnya Hamdan Abdul Rahman, yang juga ketua cawangan Umno Delima Lembah Keramat dalam bahagian Gombak, berkata mereka bukan melakukan sebarang jenayah.


"Kami bukan lakukan jenayah, kami sayangkan parti. Najib perlu letak jawatan sebagai presiden Umno. Pemilihan parti yang dijadualkan 2016 perlu diteruskan.

"Tindakan terhadap pemimpin dan ahli Umno yang mengkritik parti perlu dihentikan kerana ini membunuh demokrasi dari dalam," katanya.

Hamdan, bersama 4 lagi ketua cawangan dan 10 ahli cawangan, bercakap kepada pemberita di Taman Melawati, Ulu Kelang.

Lima ketua cawangan tersebut adalah dari Delima Lembah Keramat, Taman Melawati, Kampung Kemensah Hilir, Jelatek Permai dan Lake View, Batu Caves.

Hamdan berkata, pihaknya akan menggembleng tenaga mengumpulkan lebih ramai ketua cawangan bagi menyertai usaha mereka.

Jelasnya, terdapat kira-kira 200 cawangan Umno di bawah kawasan Parlimen Gombak yang mempunyai tiga kawasan Dewan Undangan Negeri itu.

"Kita (5 ketua cawangan Umno) yang berani berdepan. Kawan-kawan kita ramai juga yang kecewa, tapi ada masalah tertentu.

"Ketika ini, ramai pemimpin yang mengeluarkan kenyataan yang merosakkan sokongan parti, tetapi tindakan mereka direstui hanya kerana mereka orang presiden," katanya.

Hamdan turut mendesak Najib berundur bagi memberi laluan kepada pemimpin Umno lain yang lebih layak.

"Kami harap pemimpin Umno tidak menganggap kami sebagai pengacau. Kami bukan pengacau. Kami sayangkan parti," ulangnya.

Katanya, calon yang paling layak mengambil tempat Najib ialah Timbalan Presiden Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Farouk Ramly
Seorang Ahli jawatan kuasa (AJK) bahagian Umno Gombak, Farouk Ramly menimbulkan kekecohan kecil sewaktu berlangsungnya sesi sidang media Gabungan Ketua Cawangan Malaysia (GKCM) kerana tidak puas hati dengan desakan kumpulan tersebut. – Gambar The Malaysian Insider oleh Nabihah Hamid, 16 Disember, 2015.Seorang Ahli jawatan kuasa (AJK) bahagian Umno Gombak, Farouk Ramly menimbulkan kekecohan kecil sewaktu berlangsungnya sesi sidang media Gabungan Ketua Cawangan Malaysia (GKCM) kerana tidak puas hati dengan desakan kumpulan tersebut. – Gambar The Malaysian Insider

Sementara itu, ketua cawangan Lake View, Zainal Apandi, pada sidang media sama mendesak agar Najib mendengar suara akar umbi.

"Kami mewakili akar umbi dan pengundi, ahli parti, serta rakyat biasa. Dan kami sertai gabungan ini kerana memang kami cintakan Umno. Kami tak setuju dengan pemimpin sahaja.

"Suara akar umbi mesti didengar pemimpin. Yang undi esok, kami," katanya yang tidak menolak kemungkinan memboikot daripada mengundi pada pilihan raya umum akan datang.

Sementara itu, kekecohan kecil tercetus sewaktu berlangsungnya sesi itu dengan kehadiran seorang ahli jawatan kuasa (AJK) bahagian Umno Gombak, Farouk Ramly, yang menunjukkan rasa tidak puas hati dan terganggu.


"Ini kecewa betul ini. Kalau betul kecewa, pergi depanlah," katanya, yang berpakaian kemeja-T merah dengan lambang Umno, dalam nada sindiran yang ditujukan kepada mereka yang berada di hadapan dan di sekelilingnya.

Meskipun begitu, tiada sebarang pergaduhan berlaku.

Farouk kemudiannya ditenangkan ahli Umno lain dan diminta beredar dari kawasan tersebut.

"Tolonglah hormat sikit majlis orang, tak payah nak terpekik-pekik," kata seorang daripada hadirin. – 16 Disember, 2015.


No comments