Terkini


Tragedi Air Terjun: Imam Surau Puncak Alam Antara 5 Maut Lemas

HULU TERENGGANU - Hasrat enam sekeluarga menghabiskan cuti persekolahan dengan berkunjung ke Air Terjun Belukar Bukit, di sini, pagi tadi bertukar tragedi apabila lima daripada mereka ditemui lemas.


Tragedi Air Terjun: Imam Surau Puncak Alam Antara 5 Maut Lemas
Dalam kejadian kira-kira 10.45 pagi itu, mangsa ialah seorang imam yang bertugas di Puncak Alam, Selangor, Mohd Halim Samian,44; isterinya Nurul Adilah@Salaiwati Awang,39, serta tiga anaknya Nurul Arifah,16; Nurul Hidayah Aina,11 serta Nurul Izah,10.


Manakala individu yang selamat ialah Mohd Hasif, 9, dan difahamkan mereka sekeluarga yang tinggal di Puncak Alam, Selangor tiba di lokasi pelancongan berkenaan kira-kira jam 10.30 pagi sempena pulang ke kampung Nurul Adilah di Kampung Bukit Tunggal, Kuala Nerus.

Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Berang, Mohd Zuraidi Yusof berkata pihaknya menerima panggilan jam 11.35 pagi dan bergegas ke lokasi kejadian dengan kekuatan 11anggota menaiki sebuah jentera serta sebuah pajero.

"Sewaktu pihak bomba tiba di lokasi kejadian, tiga mangsa iaitu Mohd Halim, Nurul Izah serta Nurul Hidayah telah pun ditemui oleh orang awam tidak jauh antara satu sama. Mangsa pertama dijumpai ialah Mohd Halim jam 12.17 tengahari sebelum disusuli mangsa seterusnya lima minit kemudian iaitu Nurul Izah dan Nurul Hidayah.

"Operasi mencari dan menyelamat terus dilakukan pihak bomba bersama orang awam sekali gus berjaya menemui Nurul Adilah@Salaiwati jam 12.33 tengah hari. Mangsa terakhir dijumpai ialah Nurul Arifah jam 12.37 tengahari. Kesemua mangsa seterusnya diserahkan kepada pihak polis.



"Sewaktu kejadian tiada pengunjung lain di lokasi tersebut, bagaimanapun kita tidak menolak kemungkinan kejadian berpunca apabila salah seorang mereka di bawa arus sebelum ahli keluarga yang lain cuba membantu.

"Memandangkan terdapat pusaran air di kawasan berkenaan, kita percaya kesemua mereka telah dibawa pusaran itu hingga kesemuanya lemas," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita di pekarangan Bilik Forensik Hulu Terengganu, di sini, hari ini. - SH

Catatan TKO - Arwah adalah ahli HIUTM

.....

TARIKH : 19.12.2015
PGO TERIMA PANGGILAN DARI RC MELAKA: 11:35:30
BALAI TERIMA PANGGILAN: 11:35:54
PERIHAL KEJADIAN: MANGSA LEMAS
ALAMAT: AIR TERJUN BELUKAR BUKIT, HULU TERENGGANU
RESPOND: BBP KUALA BERANG (PBKII=1 & PB=5)
BANTUAN PPDA DARI BBP KUALA TERENGGANU (PBKII=1 & PB=4)
KEANGGOTAAN: 11 ANGGOTA
JENTERA: 1 W/TANDER & 1 JENTERA PPDA
KOMANDER OPERASI: PBKII ZURAIDI BIN MOHD YUSOF

MAKLUMAT AWAL DARI PEMANGGIL MELAPORKAN 5 MANGSA DARI SATU KELUARGA DIPERCAYAI LEMAS DI KAWASAN AIR TERJUN BELUKAR BUKIT MANAKALA SEORANG KANAK-KANAK LELAKI MASIH BERADA DI DARATAN.
JENTERA PERTAMA SAMPAI DI LOKASI: 12:20:14

LAPORAN AWAL KOMANDER OPERASI:-
A). JAM 12:17:00 = MANGSA SEORANG LELAKI DEWASA DAN 2 KANAK-KANAK PEREMPUAN TELAH DIJUMPAI OLEH ORANG AWAM SEBELUM KETIBAAN PASUKAN BOMBA.
B). JAM 12:33:00 = SEORANG PEREMPUAN DEWASA JUGA TELAH DIJUMPAI OLEH ORANG AWAM.
C). JAM 12:37:00 = MANGSA TERAKHIR SEORANG PEREMPUAN REMAJA BERJAYA DIJUMPAI OLEH ANGGOTA PPDA BERSAMA ORANG AWAM.

MAKLUMAT MANGSA:-
1. ABDUL HALIM BIN SAMIAN (44 TAHUN)
2. NURUL ADILA@SALWATI BINTI AWANG (39 TAHUN)
3. NURUL ARIFAH BINTI ABDUL HALIM (16 TAHUN)
4. NURUL AINA BINTI ABDUL HALIM (11 TAHUN)
5. NURUL IZAH BINTI ABDUL HALIM ( 10 TAHUN)
6. MOHD HASIF BIN ABDUL HALIM (9 TAHUN) = SELAMAT DAN BERADA DI DARATAN.
ALAMAT: NO.8, LORONG NALURI SUKMA, 9/1 FASA 2, BANDAR PUNCAK ALAM, 42300 KUALA SELANGOR.

KESEMUA MANGSA TELAH DISAHKAN MENINGGAL DUNIA OLEH PIHAK HOSPITAL. MANGSA KEMUDIANNYA DISERAHKAN PADA PIHAK POLIS UNTUK TINDAKAN SELANJUTNYA.

SEKIAN UNTUK MAKLUMAN.

......

KUALA SELANGOR - Abdul Halim Samian, 44, imam surau yang mati lemas ketika mandi bersama keluarga di Air Terjun Belukar Bukit, Hulu Terengganu hari ini, merupakan seorang dermawan dan tidak lokek kongsi ilmu agama.

Ahli Jawatankuasa Lajnah Dakwah Surau Al-Fuqran Fasa 2, Bandar Puncak Alam, Ahmad Latphy Ismail, 55, berkata arwah yang merupakan imam surau itu telah mewakafkan sebuah rumah teres dua tingkat di sini untuk dijadikan sekolah agama.

"Arwah juga merupakan pelopor kepada projek infak barangan dapur untuk fakir miskin di kawasan ini dan sangat mengambil berat mengenai hal kebajikan anggota kariahnya," kata Ahmad Latphy ketika ditemui pemberita di sini, hari ini.


Turut terkorban dalam kejadian itu isteri Abdul Halim, Nurul Adila@Salawati Awang, 39, dan tiga anak perempuan mereka - Nurul Arifah, 16, Nurul Aina, 11, dan Nurul Izah, 10.

Anak bongsu pasangan itu, Mohd Hasif Abdul Halim, 9, bagaimanapun selamat.

Seorang lagi anggota kariah surau berkenaan, Aziz Maharom, 42, pula menyifatkan Abdul Halim seorang yang tidak lokek berkongsi ilmu agama.

"Arwah mengajar pelbagai kelas agama di surau ini antaranya kelas mengaji al-Quran, kelas pengendalian jenazah, kursus pelaksanaan korban dan kursus nikah kahwin.

“Kehilangan arwah semestinya akan amat dirasai kerana arwah sekeluarga sentiasa meluangkan masa di surau ini walau sibuk mengendalikan urusan perniagaannya," katanya.

Beliau berkata, difahamkan kesemua mangsa akan dikebumikan di kampung isteri Abdul Halim di Kampung Bukit Tunggal, Kuala Terengganu. - Bernama


No comments