10 Hari Tayang, Filem Dilwale Catat Kutipan Box Office AS$16.7 Juta

Gandingan ideal pelakon hebat Datuk Shah Rukh Khan (SRK) dan Kajol menerusi filem Dilwale mencetus fenomena apabila mencatat kutipan box office AS$16.7 juta selepas 10 hari ditayangkan.


Filem Dilwale
10 Hari Tayang, Filem Dilwale Catat Kutipan Box Office AS$16.7 Juta
Filem arahan Rohit Shetty yang menjalani penggambaran di beberapa lokasi menarik di Bulgaria dan Iceland ini turut mencipta rekod apabila mencatat kutipan sebanyak AS$8.5 juta selepas tiga hari ditayangkan di seluruh dunia.


Dilwale yang menggandingkan semula SRK dan Kajol selepas lima tahun turut mengutip sebanyak AS$3.4 juta pada hari pertama tayangannya di luar India.

Selain itu, Dilwale turut mencatat rekod sebagai filem Bollywood terlaris yang ditayangkan di Emiriyah Arab Bersatu (UAE).

Penerbit filem ini, Red Chillies Entertainment memaklumkan pawagam di UAE sentiasa dipenuhi penonton yang ingin menonton filem terbabit.
Bukan itu saja, reaksi sama turut diterima untuk tayangan di Amerika Syarikat dan beberapa negara Eropah.

Seperti prestasi baik diperlihatkan filem Prem Ratan Dhan Payo yang ditayangkan sebelum ini, Dilwale juga berjaya memecah carta box office Amerika Syarikat dengan mengutip AS$1.88 juta dan menduduki tangga kesembilan.

Kutipan baik turut diperlihatkan di Australia dan New Zealand yang meletakkan Dilwale di tangga kedua filem box office. Ia satu pencapaian yang jarang diraih filem Bollywood.

Malaysia sendiri turut dilanda demam Dilwale apabila memecahkan rekod filem Bollywood terlaris yang ditayangkan dengan kutipan sebanyak AS$400,000 (RM1.7 juta) selepas 10 hari ditayangkan.

Dilwale bukan hanya filem dengan pendapatan terbesar sepanjang tahun ini, tapi juga filem terlaris pernah dibintangi SRK.

Dijangkakan, Dilwale bakal menjadi filem kedua mencatat kutipan box office seluruh dunia pada 2015 selepas Star Wars: The Force Awakens.
Untuk saingan peringkat domestik di India, Dilwale bersaing hebat dengan filem Bajirao Mastani.

*Muzik Video Janam Janam yang mencatat 4.2 juta penonton di Youtube*

Bagaimanapun, tanpa sebarang tayangan filem terbaru sehingga 8 Januari ini, Dilwale berupaya mencatat kutipan lebih tinggi untuk tayangan di India dan antarabangsa.


Selain gandingan SRK dan Kajol, Dilwale yang bergenre romantik muzikal dan aksi komedi ini turut dibintangi Varun Dhawan, Kriti Sanon, Johnny Lever dan Varun Sharma.

Filem ini turut digilai ramai peminat kerana menampilkan lagu menarik iaitu Gerua, Janam Janam, Tukur Tukur, Daayre dan banyak lagi.

Sumber: Harian Metro


No comments