3 Lelaki Muslim Punjabi ‘berjanggut’ diarah turun pesawat, Saman syarikat penerbangan

NEW YORK, Jumaat – Tiga lelaki Muslim dan seorang lelaki Sikh memfailkan tuntutan perbicaraan di hadapan juri di Mahkamah Persekutuan berjumlah kira-kira RM48 juta selepas diarah turun dari pesawat dari Kanada kerana penampilan mereka.


American Airlines

Warga Amerika Syarikat (AS) berasal dari Asia Selatan dan lelaki keturunan Arab menyaman American Airlines dan Republic Airlines, mendakwa mereka didiskriminasi, mengalami masalah kewangan, penghinaan dan penderitaan berikutan tindakan syarikat penerbangan itu.


Semuanya yang berusia dalam lingkungan 20-an berkata, mereka diarah turun dari pesawat 44718 American Airlines dari Toronto ke New York pada 8 Disember lalu hanya kerana penampilan mereka.

Empat rakan itu dalam tuduhan 18 muka surat mendakwa defendan mengamalkan tingkah laku yang berniat jahat, melampaui batas dan tidak berhati perut yang melanggar hak kebebasan lelaki.

Keempat-empat mereka ialah pengurus syarikat pembinaan, Faimul Alam, 25; pereka aplikasi perisian komputer, Shan Anand, 25, dan seorang pelajar farmasi yang hanya dikenali sebagai WH, 23, serta seorang lagi yang dikenali sebagai MK, 29, juga menguruskan syarikat pembinaan.

Mereka menaiki pesawat yang sama dengan WH dan MK masing-masing membayar tambahan AS$70 untuk duduk di kelas perniagaan.

Dalam tuntutan itu, mereka mendakwa selepas menaiki pesawat berkenaan, pramugari tanpa memberikan apa-apa alasan telah mengarahkan mereka turun.

“WH secara mendadak terkejut apabila pramugari secara tergesa-gesa meminta dia turun dari pesawat. WH menganggap ada kecemasan dan semua penumpang perlu keluar,” kata dokumen mahkamah.

Dokumen itu juga mendakwa penumpang yang duduk berdekatan bersikap rasis dan membuat komen berbaur perkauman selain mencurigai mereka.

Pegawai syarikat penerbangan itu memaklumkan kepada mereka bahawa kapten dan anak kapal berasa tidak selesa dengan kehadiran mereka dalam penerbangan dan enggan berlepas kecuali mereka dikeluarkan dari pesawat.


“Plaintif bertanya sama ada ia adalah kerana penampilan fizikal mereka yang berkulit gelap dan mempunyai janggut. Pegawai penerbangan menjawab bahawa penampilan mereka tidak dapat membantu,” kata dokumen saman itu.

Mereka kemudian dibenarkan menaiki pesawat berikut ke New York, tetapi dilarang duduk di kelas perniagaan.

Saman itu menuntut ganti rugi daripada American Airlines, Republic Airlines, Envoy Air dan American Eagle berjumlah AS$11 juta. – Agensi


No comments