Allah Lebih Menyayangi, Akhirnya Adik Fathul Islam Pergi Jua...

KUALA KETIL - Kanak-kanak tiga tahun yang mengalami kegagalan fungsi otak sejak lahir meninggal dunia kira-kira pukul 2.30 pagi tadi di Felda Teloi Timur di sini, setelah diserang sawan.


Adik Fathul Islam
Allah Lebih Menyayangi, Akhirnya Adik Fathul Islam Pergi Jua...
Muhammad Fathul Islam Burhanuddin yang mendapat perhatian media baru-baru ini akibat menderita penyakit buah pinggang tahap tiga serta masalah paru-paru, sempat minum susu yang diberikan ibunya sebelum tidur.


Bapanya, Burhanuddin Ramli, 49, berkata ini adalah kali kedua keluarganya kehilangan anak disebabkan penyakit sama selepas anak keduanya, Nurul Adila Maisarah meninggal dunia pada 2006 ketika berumur 4 tahun.

"Arwah Muhammad Fathul tidak boleh ditinggalkan tanpa sesiapa di sebelahnya, sebab beliau sering terkena sawan dan kejang seluruh anggota secara tiba-tiba, malah mukanya akan menjadi biru mungkin disebabkan tidak cukup oksigen.

"Kalau dia celik mata pun, dia hanya akan menangis tanpa henti sehingga tertidur... sebelum ini juga disebabkan kesakitan yang dialami, Muhamad Fathul tidak dapat tidur selama beberapa hari," katanya yang juga seorang penoreh getah ketika ditemui Bernama di rumahnya hari ini.

Sementara itu isteri Burhanuddin, Siti Rohani Ahmad, 39, berkata jenazah anak bongsunya dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Felda Teloi Timur, pagi tadi. -Bernama / Sinar Harian



No comments