Terkini

Annuar Musa dilantik ketua penerangan Umno, ganti Ahmad Maslan

Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara) Tan Sri Annuar Musa dilantik sebagai ketua penerangan Umno menggantikan Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Ahmad Maslan, dalam pengumuman rombakan biro ahli Majlis Tertinggi (MT) parti itu, hari ini.


Annuar Musa dilantik ketua penerangan Umno, ganti Ahmad Maslan

Presiden Umno Datuk Seri Najib Razak mengumumkan pelantikan Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara) Tan Sri Annuar Musa sebagai ketua penerangan Umno berkuatkuasa serta-merta itu pada mesyuarat MT yang diadakan di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur. – Gambar The Malaysian Insider oleh Seth Akmal, 29 Januari, 2016.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang juga presiden Umno mengumumkan pelantikan yang berkuatkuasa serta-merta itu pada mesyuarat MT yang diadakan di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur.

Menerusi penyusunan semula biro parti itu, Ahmad kini memegang jawatan Biro IT dan Datuk Seri Azeez Abdul Rahim dilantik menjadi pengerusi daftar pemilih dan keahlian Umno.


"Annuar Musa kini ketua penerangan Umno, ganti Ahmad Maslan berkuatkuasa serta-merta,” kata Najib pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat MT Umno.

Selain itu, pengerusi biro ekonomi yang sebelum ini dipegang Tan Sri Jamaluddin Jarjis kini diganti Datuk Johari Abdul Ghani yang juga timbalan menteri kewangan.

Manakala pengerusi biro pelajar luar negara dipegang Timbalan Datuk Seri Reezal Merican dan pengerusi Institusi Pendidikan Tinggi Swasta (IPTS) pula Datuk Razali Ibrahim.

Sementara biro kebajikan pula dipegang Datuk Shamsul Anuar Nasrah yang juga pengerusi Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).

Annuar ketika ditemui pemberita berkata, akan cuba melaksanakan tugas baharunya itu sebaik mungkin.

Beliau berkata, sudah memaklumkan kepada Najib untuk diberi tempoh beberapa hari untuk mengadakan pertemuan dengannya dan bekas ketua penerangan Umno.

"Saya akan cuba untuk melaksanakan tanggungjawab yang diberikan sebaik mungkin.

"Bagaimanapun saya akan meminta tempoh beberapa hari untuk berjumpa dengan perdana menteri dan bekas ketua penerangan sebelum mengumumkan beberapa langkah kepada media," katanya. – TMI 29 Januari, 2016.




No comments