Arab Saudi putuskan hubungan diplomatik dengan Iran

RIYADH: Arab Saudi memutuskan hubungan diplomatik dengan Iran semalam (3 Jan) setelah para penunjuk perasaan menggeledah kedutaan Arab Saudi di Tehran sebagai menyuarakan bantahan mereka terhadap hukuman mati yang dijatuhkan ke atas seorang ulama Syiah.


Arab Saudi putuskan hubungan diplomatik dengan Iran
Arab Saudi putuskan hubungan diplomatik dengan Iran
Menteri Ehwal Luar Arab Saudi Adel al-Jubeir mengumumkan demikian dalam satu sidang media yang diadakan di Riyadh dan beliau berkata para diplomat Iran diberi tempoh selama 48 jam untuk keluar dari negara itu.


Ketegangan diplomatik itu berlaku sedang pemimpin ulung Iran menegaskan bahawa kerajaan Arab Saudi akan berdepan dengan "akibat segera" disebabkan hukuman yang dijatuhkan ke atas Sheikh Nimr al-Nimr dan juga sedang negara-negara Barat melahirkan kebimbangan tentang hubungan yang semakin tegang antara puak Sunni dan orang-orang Islam.

Arab Saudi "memutuskan hubungan diplomatik dengan Iran dan meminta agar semua anggota misi diplomatik Iran meninggalkan negara itu...dalam masa 48 jam," tegas Encik Jubeir.

"Sejarah Iran penuh dengan campur tangan negatif dan permusuhan dalam isu-isu berkaitan Arab dan lazimnya membawa kepada kemusnahan," tambah beliau, yang menuduh Tehran sengaja "menjejas kestabilan" di rantau itu.

Sabtu lalu, para penunjuk perasaan menyerang kedutaan Arab Saudi di Tehran dan sebuah konsulat di bandar kedua Mashhad di tengah-tengah bantahan terhadap hukuman mati yang dijatuhkan ke atas Nimr.

Menteri Ehwal Luar Arab Saudi Adel Al-Jubeir
Menteri Ehwal Luar Arab Saudi Adel Al-Jubeir
Menurut Encik Jubeir, 56 tahun, sebelum itu pihak berkuasa meminta rakan-rakannya dari Iran supaya memastikan kawalan keselamatan di kedutaan Arab Saudi di Tehran dipertingkat namun mereka tidak memberi kerjasama dan gagal mengawalnya.

Nimr, 56 tahun merupakan dalang di sebalik bantahan anti-kerajaan di Arab Saudi yang kaya dengan sumber minyaknya, di mana puak Syiah mengadu bahawa mereka seperti dipinggirkan.

Hukuman mati dijatuhkan ke atas Nimr bersama-sama 46 orang lagi, para aktivis Syiah dan mensabitkan beberapa anggota kumpulan militan Sunni yang terlibat dalam serangan yang dilancarkan oleh al-Qaeda pada tahun 2003 dan 2004 yang mengorbankan ramai orang, menurut Kementerian Ehwal Luar Arab Saudi.

Sebahagian daripada mereka dipenggal dan sebahagian lagi ditembak mati oleh skuad penembak.

Iran menyatakan ia memberkas seramai 44 orang atas insiden serangan di kedutaan Arab Saudi dan Presidennya Hassan Rouhani berkata para pembantah berkenaan adalah mereka yang menjadi "radikal" dan serangan tersebut "tidak boleh diterima sama sekali".

Pemimpin ulung Iran, Ayatollah Khamenei pula mengutuk hukuman mati ke atas Nimr dengan berkata "Tuhan tidak akan mengampunkan" kerajaan Arab Saudi.

"Ia akan menghantui anggota politik dalam rejim ini," tambahnya.


Hubungan antara Arab Saudi yang memerintah di bawah fahaman Sunni dan Iran yang memerintah di bawah fahaman Syiah sudahpun tegang berdekad-dekad lamanya, dengan Riyadh yang sering menuduh Tehran campur tangan dengan hal ehwal Arab.

Kedua-dua negara juga tidak bersepakat berhubung peperangan hampir lima tahun di Syria, di mana Iran menyokong rejim tentera negara itu dan di Yaman di mana gabungan yang dipimpin Arab Saudi sedang berjuang melawan pemberontak yang disokong Iran. - AFP/nk


No comments