Terkini

Barang Rumah Datuk Hamidah Dilelong RM100,000

BATU GAJAH: Barangan dalam rumah bekas Ketua Wanita UMNO Gopeng yang dipecat, Datuk Hamidah Osman, dilelong pagi ini pada harga RM100,000.


Barang Rumah Datuk Hamidah Dilelong RM100,000
Barang Rumah Datuk Hamidah Dilelong RM100,000
Barangan itu dilelong susulan keputusan Mahkamah Rayuan yang memerintahkan Hamidah yang juga bekas EXCO kanan Perak, membayar RM200,000 kepada Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad, berhubung satu kes saman malu.


BACA: Barang dalam rumah disita, Keluarga Datuk Hamidah dakwa tertekan

Proses lelongan itu bermula pada jam 10.30 pagi bagi melelong 62 unit kelengkapan rumah dan tiga set kelengkapan bilik tidur yang terdapat dalam rumah Hamidah di Kampung Tersusun Batu Gajah di sini pada harga bidaan RM200,000.

Lelongan bermula pada jam 11 pagi dengan Pelelong Berlesen, Hasniza Abu Samah, mengumumkan bidaan pada harga lantai RM200,000 tetapi tiada sambutan walaupun diumumkan sebanyak tiga kali.

Beliau kemudian menurunkan harga kepada RM150,000 tetapi turut tidak mendapat sambutan walaupun diumumkan sebanyak tiga kali. Selepas itu, harga diturunkan kepada RM100,000 sebelum seorang suri rumah, Fatimah Mohd Isa, 52, membuat bidaan tanpa ada saingan sesiapa.

Fatimah yang juga rakan karib Hamidah, berkata beliau membeli barangan rumah berkenaan kerana mahu membantu Hamidah yang diibaratkan sebagai pejuang sejak menjadi ahli politik.


"Tiada satu barangan di dalam rumah ini akan dibawa keluar dan saya membeli barangan ini kerana ingin membantu Hamidah," katanya yang ditemui selepas proses lelongan itu.

Sementara itu, Hamidah berkata, beliau reda dengan apa yang berlaku dan itu adalah proses mahkamah yang perlu diturutinya.

Pada 27 April tahun lalu, Mahkamah Tinggi Shah Alam memerintahkan Hamidah membayar jumlah berkenaan kepada Khalid atas penerbitan artikel yang bertajuk 'Umat Islam Perlu Bersatu' di dalam blognya pada sekitar Januari 2010 di mana dalam artikel itu, Hamidah didakwa memuatkan gambar 'superimposed' Khalid berpakaian ala seorang paderi. -Berita Harian


No comments