Terkini

Buat #2kerja tapi belum tentu dapat tampung kos sara hidup

Bagi kebanyakan rakyat Malaysia, terutamanya golongan berpendapatan rendah, tiada apa yang boleh dilakukan melainkan membuat pekerjaan lain untuk menambah pendapatan bagi menyara hidup dan keluarga.


Buat #2kerja tapi belum tentu dapat tampung kos sara hidup
Kebanyakan rakyat Malaysia yang melakukan 2 atau lebih pekerjaan masih lagi menghadapi kesukaran menampung kos sara hidup.
Tetapi dengan kelembapan ekonomi semasa, semakin ramai terhimpit akibat peningkatan kos sara hidup biarpun ada yang melakukan pekerjaan sampingan.

Bagi mereka, cadangan Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Ahmad Maslan baru-baru ini supaya melakukan 2 pekerjaan bukan menunjukkan tanda simpati, malah memaparkan realiti sebenar yang perlu ditanggung kebanyakan rakyat.

Kerani siang hari, pemandu waktu malam


Amiruddin Man, seorang kerani di institusi pendidikan tinggi di Pulau Pinang, mula melakukan pekerjaan kedua sejak 2 tahun lalu dengan membawa teksi selepas menghabiskan kerjanya.

Tetapi pemilik teksi sudah mengambil semula kenderaan dan Amiruddin kini perlu menggunakan keretanya sendiri untuk membawa pelanggan.

"Jika saya menyewa teksi, saya perlu membayar RM40 sehari, tidak berbaloi kerana saya hanya boleh melakukannya selepas jam 6 petang, dan perniagaan perlahan pada hari bekerja," kata lelaki berusia 31 tahun itu kepada The Malaysian Insider.


Dengan menggunakan kereta peribadinya, Amiruddin tahu apa yang dilakukannya tidak sah kerana tidak mempunyai permit, tetapi terpaksa menanggung risiko itu.

Amiruddin juga berkata beliau bukan pemandu Uber berdaftar kerana tidak mampu memenuhi syarat dan kehendak yang diperlukan syarikat itu.

"Ini kerja 'teksi sapu' (teksi haram), tetapi itu sahaja yang boleh saya lakukan sekarang. Saya hanya berdoa tidak ditangkap. Saya bernasib baik setakat ini.

"Saya tidak menjadi kaya dengan pekerjaan ini. Saya hanya berkhidmat sepenuh masa kepada pelanggan yang menghubungi saya jika mereka perlukan. Jika tiada panggilan, maka saya tinggal sahaja di rumah. Saya hanya mendapat purata RM200 hingga RM300 sebulan, yang hanya cukup untuk menampung perbelanjaan petrol bulanan.

"Saya dapat pulangan yang lebih baik pada hujung minggu dan cuti umum. Kadang-kadang kawan saya yang menjalankan perniagaan kecil-kecilan, menghubungi apabila mereka perlu bantuan untuk menghantar produk mereka seperti hadiah dan kek kepada pelanggan. Saya terima apa yang mereka mampu bayar. Saya tidak menetapkan kadar," katanya.

balik kerja
Melakukan dua pekerjaan selepas habis waktu kerja tetap memakan masa bersama keluarga bagi Amiruddin Man yang memandu 'teksi sapu' untuk menampung kos sara hidup. – Gambar fail The Malaysian Insider, 11 Januari, 2016.

Melakukan dua pekerjaan selepas habis waktu kerja tetap memakan masa bersama keluarga bagi Amiruddin Man yang memandu 'teksi sapu' untuk menampung kos sara hidup. – Gambar fail The Malaysian Insider, 11 Januari, 2016.Amiruddin mengakui tidak dibenarkan melakukan pekerjaan kedua tanpa kebenaran daripada majikannya.

"Saya mempunyai rakan-rakan yang juga melakukan pekerjaan kedua, tetapi kami pastikan pekerjaan kami yang lain itu tidak memberi kesan kepada pekerjaan sebenar. Kami hanya melakukannya selepas waktu bekerja.

"Ini bermakna kami perlu mengorbankan masa dengan keluarga, malam dan bekerja pada hujung minggu. Kadang-kadang saya mempunyai pelanggan dan hanya pulang ke rumah selepas tengah malam ketika semua orang sudah tidur."

Bersama-sama isterinya yang juga kerani di institusi sama, pendapatan bulanan isi rumah mereka kurang RM4,000, manakala perbelanjaan mereka mencecah sehingga RM1,800.

Katanya, mereka membelanjakan kira-kira RM400 untuk barangan runcit, RM400 bagi makanan di tempat kerja, RM250 untuk petrol dan RM250 lagi kelengkapan sekolah anak yang kini di darjah 3.

"Kami ketepikan RM60 sebulan untuk wang saku anak, dan sekitar RM185 untuk kemudahan kami, Astro dan bil telefon. Kami juga membayar yuran penyelenggaraan RM80 untuk rumah.

"Kami masih cuba mengurangkan perbelanjaan supaya boleh menyimpan lebih banyak. Makan di luar semakin mahal, jadi kami memasak dan makan di rumah. Kadang-kadang, kami hanya makan roti sebagai hidangan makan malam," katanya.

Amiruddin dan isterinya juga memperuntukkan sejumlah RM500 sebulan sebagai bayaran pinjaman perumahan.

"Kami tinggal di rumah ayah saya di Bukit Jambul, yang tidak jauh dari tempat kerja dan sekolah anak. Dengan cara ini kita dapat menjimatkan sedikit perbelanjaan petrol.

"Saya dan isteri mempunyai sebuah rumah yang kami sewakan RM400 sebulan. Ia tidak cukup untuk menampung pinjaman bank, tetapi sekurang-kurangnya adalah sikit."

Amiruddin tidak menyalahkan memperoleh pendapatan rendah begitu dengan keadaan ekonomi serta cukai barangan dan perkhidmatan, yang menyebabkan harga barangan naik.

"Walaupun jika gaji saya meningkat, saya tidak fikir ia akan membantu jika barang terus mahal. Kami memperoleh beberapa bantuan kerajaan, tetapi ia tidak mampu bertahan lama.

"Adalah sukar bagi mereka yang mempunyai anak yang masih bersekolah. Yuran sekolah, peralatan sekolah dan lain-lain semakin mahal," katanya sambil menambah tidak mampu membawa anaknya bercuti di luar Pulau Pinang.

Suri rumah, kanak-kanak, dan 2 perniagaan

Ramai yang menggunakan media sosial seperti Facebook dan Instagram untuk menjana pendapatan sampingan dan berniaga dari rumah

Suri rumah Siti Hajar Hasan, 27, menjalankan perniagaan online yang menjual makanan tambahan dan pakaian wanita Islam sejak 2014 untuk membantu meringankan beban kewangan keluarganya.

Perniagaan online melalui Facebook, blog dan akaun Instagram katanya mampu menjana pendapatan 3 hingga 4 angka sebulan, bergantung kepada usahanya.

"Berapa keras saya bekerja dan bergantung kepada berapa banyak wang yang diperlukan keluarga pada bulan itu. Saya tidak melakukannya secara serius. Ia sekadar untuk mencukupkan dan saya juga mempunyai seorang anak perempuan dan rumah untuk diuruskan.

"Anda perlu sentiasa melihat akaun media sosial dengan teliti, menjawab pertanyaan dan mengambil pesanan. Jika tidak bertindak dengan cukup pantas, anda akan kehilangan pelanggan yang berpotensi," katanya.

Tetapi sekarang untuk menampung kos sara hidup yang meningkat, Siti Hajar juga mengambil pekerjaan lain – menguruskan tadika yang baru dibuka di Kepala Batas di Pulau Pinang.

Pekerjaan ini menambah RM1,000 lagi pendapatan keluarganya, yang sebelum ini banyak bergantung kepada gaji RM3,000 suaminya – bekerja sebagai pegawai kerajaan negeri.

Beliau berkata, mudah-mudahan keluarganya yang menetap di Seberang Jaya, Pulau Pinang – dengan seorang anak berusia 5 tahun – akan dapat hidup lebih selesa dengan pendapatan tambahan bagi menampung perbelanjaan bulanan melebihi RM2,000.

Pasangan ini membelanjakan RM800 untuk pinjaman kereta dan rumah sewa mereka, RM600 untuk makanan dan barangan runcit, RM500 telefon, bil Internet dan utiliti, dan RM300 bagi petrol, tol dan pengangkutan awam.

Siti Hajar berkata suaminya menaiki bas dan feri untuk ke tempat kerjanya di sebelah pulau daripada memandu bagi mengurangkan perbelanjaan.

"Siapa yang mahu bekerja keras jika mereka boleh melakukan perkara yang mudah di rumah? Kami boleh lakukannya sebelum ini tetapi kos sara hidup naik.

"Kami tidak boleh hanya bergantung kepada pendapatan suami saya. Oleh itu, kami membuat pengorbanan... sekurang-kurangnya saya boleh mengatakan saya melakukan pekerjaan impian kerana saya memang mahu bekerja di tadika."

Siti Hajar berharap tadika baharu dengan 13 murid berusia antara 4 dan 6 itu akan dapat diuruskan dan dikekalkan supaya pendapatannya daripada perniagaan itu akan stabil.

"Kami berfikir dalam ekonomi yang perlahan, pendidikan akan menjadi perniagaan yang mampu bertahan. Orang ramai masih perlu menghantar anak-anak mereka ke tadika dan sekolah," katanya.

Bapa 54 tahun bekerja dari subuh hingga senja


Selama lebih 30 tahun, pekerja pejabat, K Chandrasegaran bangun sebelum subuh untuk menjual suratkhabar sekitar 6-7 pagi, sebelum bersiap bagi kerja tetapnya pada waktu pejabat 9 pagi hingga 5 petang.

Bapa kepada 3 orang anak itu memperoleh pendapatan sekitar RM2,500 sebulan dan mampu menyara semua anaknya hingga ke pendidikan tinggi.

Pada usia 54 tahun dan menghampiri umur persaraan, Chandrasegaran perlu menyara seorang lagi anaknya yang masih kecil sejak anak sulungnya mula bekerja di Singapura, dan tidak terlalu bimbang pendapatan semakin merosot akibat penurunan jualan akhbar.

Beliau bagaimanapun mengakui keluarganya terpaksa membuat keputusan untuk kurang berbelanja disebabkan kenaikan harga makanan dan utiliti.

"Saya lega anak saya berjaya mendapat kerja di Singapura di mana mata wang adalah lebih baik daripada kita sekarang. Beliau tidak menyumbang kepada perbelanjaan keluarga lagi tetapi saya percaya lebih mudah beliau berbuat demikian selepas bekerja beberapa tahun lagi," katanya.


Perlu jimatkan perbelanjaan, kata ibu tunggal 5 anak

Ibu tunggal berniaga
Ibu tunggal yang perlu menyara hidup bersama anak-anaknya juga tergolong dalam rakyat yang perlu bekerja sepanjang hari dengan 2 atau lebih pekerjaan. 

Ibu tunggal Nur Suria Abd Aziz, 38, merupakan seorang tukang masak dan pembantu gerai makanan pada siang hari dan penjual di pasar raya pada waktu malam. Beliau memperoleh RM1,320 daripada kedua-dua pekerjaannya itu.

Sejak bercerai 2 tahun lalu, beliau seorang saja yang menyara kehidupan 5 anaknya yang berusia antara 6 hingga 16 tahun.

"Ia merupakan satu perjuangan yang sukar bagi saya untuk beberapa waktu sekarang dan peningkatan dalam kos keseluruhan memberikan tekanan kepada kewangan saya.

"Saya terpaksa mencari alternatif yang lebih murah daripada segi pengusaha bas sekolah dan pengasuh anak-anak.
"Bagaimanapun, melakukan 2 pekerjaan bukanlah sesuatu yang baharu bagi saya kerana saya melakukannya ketika saya masih berkahwin.

"Hanya kini, kami perlu lebih berjimat cermat," kata Nur Suria, yang berasal dari Desa Pakatan, di Ipoh.

Beliau pada mulanya cuba untuk memohon bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat tetapi menangguhkannya selepas seorang pegawai yang datang memeriksa keadaan rumahnya berkata tidak layak menerima bantuan kerana mempunyai set televisyen dan sofa di rumahnya.

"Perabot yang disediakan bekas suami saya yang sudah berpindah. Beliau ada memberikan wang saku kepada kami, tetapi adalah sukar kalau hanya bergantung kepada pendapatan saya sendiri.

"Seorang rakan saya juga menerima alasan yang sama apabila memohon bantuan dan selepas itu kami berhenti mencubanya," katanya.

Melakukan 2 atau lebih pekerjaan sudah biasa buat pengurus pemasaran

Sejak masih belajar dahulu, Susan Ho, 28, melakukan beberapa pekerjaan sambilan untuk menyara hidupnya.


Dalam tempoh 5 tahun yang lalu, beliau sudah bekerja sebagai guru tadika, penulis bebas untuk akhbar masyarakat dan juga mengajar kelas piano pada masa sama.

Tahun ini, pengurus berusia 28 tahun itu bagaimanapun mengambil keputusan untuk mencari pekerjaan di Kuala Lumpur, kerana terpedaya dengan janji pendapatan yang lebih besar.

Beliau berkata, harga makanan di kampung halamannya di Ipoh meningkat begitu banyak dan harganya hampir setanding dengan kadar di ibu negara.

"Sebab saya berkecimpung dalam beberapa pekerjaan adalah kerana hasil pendapatan untuk satu pekerjaan di Ipoh adalah kecil.

"Pendapatan saya dari semua 3 pekerjaan itu berjumlah antara RM2,800 dan RM3,000, yang hanya cukup bagi saya untuk menampung pembayaran bil.

"Pada kadar ini, ia akan menjadi lama sebelum saya mampu membeli sebuah rumah sendiri, yang merupakan impian saya. Sebab itu saya mengambil keputusan untuk berpindah ke Kuala Lumpur, di mana saya boleh mendapat gaji pokok sekurang-kurangnya RM4,000," katanya.

Susan bekerja sebagai pengurus pemasaran dan berkata sedang mempertimbangkan terus mengajar piano secara sambilan atau menjadi seorang pemandu Uber bagi meningkatkan pendapatan dan meningkatkan simpanannya. – TMI 11 Januari


No comments