Dato' Seri Vida mahu pengadil guna wisel warna merah jambu

Pengadil perlawanan Liga Malaysia (Liga M) mesti menggunakan wisel berwarna merah jambu – satu daripada 34 syarat diminta Datuk Seri Dr Hasmiza Othman dalam penajaannya kepada Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa), lapor Berita Harian hari ini.


Dato' Seri Vida mahu pengadil guna wisel warna merah jambu
Datuk Seri Dr Hasmiza Othman inginkan warna merah jambu yang menjadi simbol kepada produk dan pasukan Kelantan digunakan walaupun kepada pengadil ditugaskan bagi mengadili perlawanan lain. - 
Syarat tersebut dinyatakan usahawan wanita dari Kelantan itu ketika mengadakan perbincangan dengan Presiden Kafa Tan Sri Annuar Musa dan pegawainya di ibu negara minggu lalu.

“Saya mahu warna merah jambu menjadi simbol kepada produk dan pasukan Kelantan walaupun pengadil ditugaskan mengadili perlawanan lain.


“Kalau dah alang-alang jersi dan stadium warna merah jambu, apa salahnya wisel pun ditukarkan kepada warna sama. Itu yang saya bincangkan dengan Annuar pada Sabtu lalu.

"Dan beliau akan mengutarakan permintaan saya itu kepada FAM (Persatuan Bola Sepak Malaysia),” Hasmiza, lebih dikenali sebagai Datuk Seri Vida, dipetik berkata.

Pemilik syarikat kosmetik Vida Beauty Sdn Bhd itu sebelum ini mahukan pasukan bola sepak Kelantan atau skuad The Red Warriors (TRW), menggunakan jersi berwarna merah jambu.

Selain itu, beliau juga mahu Stadium Sultan Muhammad IV dicat warna berkenaan dan ia sudah pun dipersetujui kerajaan negeri menerusi Menteri Besar Datuk Ahmad Yaakob semalam.

Sementara itu, satu lagi syarat didedahkan Vida kepada BH Sukan semalam adalah, pakaian rasmi pengadil perlawanan Liga M diminta menggunakan logo Pamoga Qu Puteh sempena nama produk syarikatnya, sama ada di bahagian depan atau belakang.


“Saya tidak tahulah benda ini boleh dilaksanakan atau tidak. Cuma saya mahu Kafa tolong usaha perkara ini dengan FAM.

"Mungkin agak sukar, tapi kalau kita tidak cuba belum tahu lagi,” katanya. – 12 Januari, 2016.


No comments