Terkini

Enam Sekeluarga Maut Dalam Kemalangan Ngeri Di Gua Musang

GUA MUSANG, Sabtu – Hasrat untuk menziarahi seorang keluarga terdekat yang sakit tidak kesampaian apabila, enam sekeluarga, termasuk tiga kanak-kanak, maut apabila kereta yang dinaiki terbabit dalam nahas ngeri dengan dua buah lori di Kilometer 25 Jalan Gua Musang-Kuala Krai, dekat Kampung Rantau Manis di sini, hari ini.


Enam Sekeluarga Maut Dalam Kemalangan Ngeri Di Gua Musang

Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Saiful Bahri Abdullah, berkata dalam kejadian kira-kira 10 pagi itu, pemandu kereta Nur Amira Azudin, 23, ibunya Mardiah Drani, 48, kakak iparnya Noor Azila Yasin, 27, serta tiga anak saudaranya maut.


“Tiga anak saudara yang maut itu termasuk anak Noor Azila, Muhammad Hadif Haykal Muhd Hafiz yang berumur setahun enam bulan, serta pasangan kembar Siti Badrishah Ab Rahman dan Siti Noraudah, berusia empat tahun,” katanya kepada pemberita.





Suami Noor Azila, yang juga abang Nur Amira, Muhd Hafiz, 30, yang cedera parah di kepala serta badan, dan kini dirawat di Hospital Gua Musang. Pemandu dua lori yang turut terbabit dalam kemalangan itu, Ahmad Ismail, 37, dan Ahmad Zaki Pahmi, 30, tidak mengalami kecederaan.


Saiful Bahri berkata, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku ketika Nur Amira dipercayai cuba memotong sebuah lori sebelum bertembung dengan sebuah lori lain.


Nur Amira dan keluarga dilaporkan dalam perjalanan dari rumah mereka di Kampung Panggong Lalat menuju ke Felda Chiku 2 untuk melawat anak saudara lelaki Noor Azila berusia empat bulan yang sakit. - Bernama


No comments