Terkini

Hanya Seorang Murid Daftar Tahun 1 Di SJKC Chee Nan, Jerlun

ALOR SETAR – Sesi pembelajaran di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Chee Nan, Jerlun, kira-kira 30km dari sini, tetap berjalan seperti biasa walaupun hanya mempunyai seorang murid yang mendaftar di Tahun Satu.


Hanya Seorang Murid Daftar Tahun 1 Di SJKC Chee Nan, Jerlun
Hanya Seorang Murid Daftar Tahun 1 Di SJKC Chee Nan, Jerlun
Guru Besarnya Lai Hoi Tien berkata pelajar berkenaan, Lau Chun Yih, 7, ditempatkan dalam kelas Tahun Satu dan sesi pembelajarannya berjalan seperti biasa mengikut silibus yang disediakan.


Beliau berkata sekolah tersebut merupakan sekolah yang kurang muridnya di mana pada tahun lepas, hanya dua murid sahaja yang mendaftar di sekolah yang terletak di pinggir Bandaraya Alor Setar itu.

“Kita ada 13 murid dari Tahun Satu hingga Enam dengan sembilan guru. Pencapaian dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) di sekolah ini sejak 2013 hingga tahun lepas mencapai 100 peratus kelulusan,” katanya ketika ditemui pemberita hari ini.

SJKC Chee Nan, Jerlun
SJKC Chee Nan, Jerlun
Sementara itu, ibu Lau, Chong Mee Kim, 50, berkata dia memilih sekolah berkenaan kerana tidak mempunyai ramai murid yang membolehkan guru-guru memberi perhatian kepada anak bongsu daripada dua beradik itu.


Suri rumah yang tinggal di Tongkang Yard, Alor Setar berkata ini merupakan kelebihan kepada anaknya di mana guru akan membantunya menguasai mata pelajaran yang sukar untuk difahami.

“Masa daftar baru-baru ini saya sudah tahu hanya anak saya seorang yang masuk Tahun Satu dan saya lihat dia gembira dan teruja apabila memulakan sesi persekolahannya,” katanya. – BERNAMA


No comments