Hishammuddin menghadap Raja Saudi bukan kerana ‘derma’ RM2.6 bilion

RIYADH, Khamis – Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein menghadap Penjaga Dua Masjid Suci yang juga Raja Arab Saudi, Raja Salman di sini, hari ini – bukan untuk mengucapkan terima kasih kerana ‘derma’ yang diberikan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.



Difahamkan, pertemuan itu bagi membincangkan kerjasama pertahanan selepas Arab Saudi mengumumkan penubuhan gabungan ketenteraan 34 negara Islam untuk memerangi keganasan.


Menurut laporan media Arab Saudi, pertemuan di Istana Al-Yamama itu turut dihadiri Menteri Pertahanan Indonesia, Ryamizard Ryacudu dan Timbalan Menteri Pertahanan Brunei, Lt Jen Datuk Abdul Aziz Mohammed Tameet.

Setakat ini, Kementerian Pertahanan belum mengeluarkan kenyataan rasmi sama ada Malaysia bersetuju menganggotai gabungan berkenaan.

Selain itu, lawatan berkenaan juga bertujuan menunjukkan Malaysia menyokong usaha ke arah mewujudkan keamanan dan persetujuannya bahawa negara Islam perlu bersatu dalam memerangi keganasan, termasuk di Syria dan Iraq.

Perbincangan juga dikatakan memberi fokus mengenai cara menangani ancaman Daesh (kumpulan militan IS).

Kelmarin keluarga diraja Arab Saudi dikaitkan dengan laporan memberi derma berjumlah RM2.08 bilion yang dimasukkan terus ke akaun Najib, yang dikatakan bertujuan membantu Barisan Nasional dalam Pilihan Raya Umum Ke-13, serta untuk memerangi militan.

Bagaimanapun, Najib dikatakan sudah memulangkan lebihan wang yang tidak diguna itu kepada keluarga diraja Arab Saudi yang tidak dinamakan.



No comments