Jenazah 2 Pelajar Malaysia Maut di Jordan Selamat Dikebumikan

KOTA BHARU – Jenazah dua pelajar Malaysia yang terkorban dalam kemalangan jalan raya di Jordan Sabtu lepas, dikebumikan di kampung masing-masing malam tadi.


Para palajar tahfiz mengaminkan doa selepas selesai menunaikan solat jenazah Al Najiatun Nailah di Tanah Perkuburan Sungai Pinang Rabu malam. - Foto BERNAMA

Jenazah Al Najiatun Nailah Mohd Safie dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Sungai Pinang, Tumpat manakala Hana’ Azhar dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Tok Bok, Machang.

BACA: Identiti Pelajar Malaysia Maut, Cedera Kemalangan di Jordan Dikenal Pasti

Mereka bersama seorang lagi pelajar Fatin Iqmal Idziyani Che Aziz adalah pelajar tahun tiga Universiti Mu’tah, Jordan, maut dalam kemalangan jalan raya di Ashrafiyeh, wilayah Mafraq ketika dalam perjalanan untuk menghadiri satu program keagamaan.


Jenazah Fatin Iqmal Idziyani dibawa ke Lenggong, Perak untuk dikebumikan di sana.

Di TUMPAT, jenazah Al Najiatun Nailah yang tiba dengan van jenazah dari Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP) Pengkalan Chepa, Kota Baharu, tiba di rumahnya pada 8.57 malam untuk solat jenazah sebelum dibawa ke Tanah Perkuburan Islam Sungai Pinang untuk dikebumikan.

Solat jenazah yang disertai 100 penduduk termasuk Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakob, diimamkan oleh bapa Allahyarham Mohd Safie Ismail.

Jenazah Al Najiatun Nailah kemudiannya diusung ke tanah perkuburan itu yang terletak berdekatan rumahnya dalam keadaan hujan renyai-renyai dan dikebumikan di sebelah kubur neneknya Hasnah Yusoff, pada 9.58 malam.

Selepas mengetuai bacaan tahlil, Mohd Safie mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang membantu menguruskan kepulangan jenazah anaknya sehingga selesai dikebumikan.

Ketika ditemui pemberita, Ibu Allahyarham, Rohaizom Omar, 53, mengucapkan terima kasih kepada semua pihak termasuk kedutaan Malaysia di Jordan, Kementerian Pendidikan Tinggi dan kerajaan negeri atas segala bantuan yang diberikan sehingga jenazah anaknya selamat dibawa pulang.

“Kami terima pemergian anak kami sebagai takdir,” kata Rohaizom.

Jenazah Hana Azhar dibawa keluar daripada van semasa tiba di rumah nenek Allahyarhamah untuk disembahyangkan sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Tok Bok, Rabu malam. - Foto BERNAMA

Sementara itu di MACHANG, jenazah Hana’ tiba dengan van jenazah dari LTSIP di rumah datuknya Salleh Mohd Yusof di Kampung Tok Bok pukul 8.25 malam untuk solat jenazah yang disertai kira-kira 100 penduduk, diimamkan Imam Tua Masjid Sultan Yahya Petra Machang, Mohd Hafizi Ramli.

Jenazah kemudiannya dibawa ke Tanah Perkuburan Islam Kampung Tok Bok juga dalam keadaan hujan untuk dikebumikan pada 10.45 malam.


Ketika ditemui pemberita, Salleh bersyukur kerana jenazah cucunya itu selamat dikebumikan di kampung berkenaan dan beliau mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang membantu membawa pulang jenazah.

Terdahulu kedua-dua jenazah tiba dengan pesawat Malaysia Airlines di LTSIP pada 7.25 malam dan terus dibawa dengan van jenazah ke kampung masing-masing.

Sebelum itu, penerbangan Royal Jordanian RJ185 yang membawa ketiga-tiga jenazah tersebut tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pukul 4.25 petang. – BERNAMA


No comments