Terkini


Jenazah Pelajar Malaysia maut bermain ski di Perancis dijangka tiba Jumaat ini

KUALA LUMPUR – Jenazah Affiah Ariffin Hew, 23, yang meninggal dunia selepas terbabit kemalangan ketika bermain ski di Perancis dijangka tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur Jumaat ini.


Affiah Ariffin Hew
Affiah Ariffin Hew (Kanan)
Menurut ibu saudara Affiah, Norhazlinda Madon, 39, jenazah Allahyarham Affiah dijangka tiba kira-kira 5 petang, waktu Malaysia.

“Saya tidak pasti waktu bila penerbangan dari sana (Perancis) berlepas namun dimaklumkan ibu Affiah, jenazah akan tiba di sini dalam pukul 5 petang,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini, semalam.


“Jenazah akan dibawa pulang ke rumah keluarga Affiah di Sunway SPK Damansara sebelum dibawa ke Masjid Saidina Umar Al Khattab, Bukit Damansara pada Sabtu, pukul 9 pagi untuk disembahyangkan,” katanya.

Katanya, selepas disembahyangkan, jenazah akan dibawa ke Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara di sini, untuk dikebumikan.

Sementara itu, kenalan keluarga Affiah yang juga pelajar di Nice, Abdul Aziz Asmuni, 23, berkata urusan dokumentasi untuk membawa pulang jenazah ke tanah air kini berjalan lancar.

“Setakat ini segala urusan berjalan lancar dengan bantuan keluarga kawan baik Allahyarham Affiah dari sini (Perancis) sekali gus membolehkan pengurusan jenazah dapat disegerakan,” katanya kepada Bernama menerusi sistem pesanan Facebooknya hari ini.

Affiah, pelajar jurusan ekonomi tahun ketiga di University of Nantes, terbabit dalam kemalangan ketika bermain ski di Nice pada Jumaat dan dibawa ke Hospital Pasteur menggunakan helikopter.

Difahamkan, Affiah hilang kawalan ketika bermain ski sebelum terjatuh dan mengalami kecederaan serius di kepala.

Affiah dilaporkan dalam keadaan kritikal dan tidak sedarkan diri sebelum meninggal dunia sehari kemudian (awal pagi Ahad di Malaysia). – BERNAMA



No comments