Kes 7 individu bunuh Kevin Morais dipindah ke Mahkamah Tinggi

Kes 7 lelaki termasuk seorang doktor tentera yang didakwa membunuh dan bersubahat membunuh Timbalan Pendakwa Raya Anthony Kevin Morais, hari ini dipindahkan ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.


Kes 7 individu bunuh Kevin Morais dipindah ke Mahkamah Tinggi
Kes 7 lelaki termasuk seorang doktor tentera yang didakwa dalam kes pembunuhan Timbalan Pendakwa Raya Anthony Kevin Morais dipindahkan ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, hari ini. – Gambar fail The Malaysian Insider, 7 Januari, 2016.
Majistret Siti Radzeah Kamarudin memindahkan kes itu selepas Timbalan Pendakwa Raya Datuk Abdul Razak Musa mengemukakan surat izin pihak pendakwa kepada mahkamah bagi kes dipindahkan ke Mahkamah Tinggi.

Razak ketika ditemui pemberita berkata tarikh baharu sebutan kes akan ditetapkan Mahkamah Tinggi.


Enam lelaki iaitu G Gunasekaran, 43; R Dinishwaran, 23; A Thinesh Kumar, 22; M Vishwanath, 25; S Nimalan, 22; dan S Ravichandaran, 34, didakwa membunuh Kevin yang dalam perjalanan dari Jalan Dutamas Raya Sentul ke No 1 Jalan USJ1/6D, Subang Jaya antara jam 7 pagi dan 8 malam pada 4 September, 2015.

Pakar Patalogi Kolonel Dr R Kunaseegaran, 52, pula didakwa bersubahat dengan 6 lelaki itu membunuh Kevin di tempat, tarikh dan pada masa yang sama.

Kunaseegaran didakwa mengikut Seksyen 109 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama-sama Seksyen 302 Kanun Keseksaan, manakala 6 lelaki tersebut didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati, jika sabit kesalahan.

Peguam M Manoharan dan P Rajagopal mewakili semua enam tertuduh berkenaan sementara Datuk S Sivananthan mewakili Kunaseegaran manakala Datuk Simon Sabapathy bertindak sebagai peguam pemerhati bagi adik bongsu mendiang, Datuk Richard Dilaan Morais.

Semalam, Mahkamah Majistret Petaling Jaya memindahkan kes seorang mekanik yang didakwa bersubahat dengan 6 lelaki itu membunuh Kevin, ke Mahkamah Tinggi Shah Alam.

Mayat Kevin, 55, ditemui di dalam tong dram berisi konkrit di Persiaran Subang Mewah, Subang Jaya pada 16 September tahun lepas.


Mendiang dilaporkan hilang pada 4 September dan kali terakhir dilihat meninggalkan pangsapurinya di Menara Duta di sini untuk ke Putrajaya menaiki kereta Proton Perdana dengan nombor pendaftaran WA6264Q. – TMI: Bernama, 7 Januari, 2016.


No comments