Terkini

Letupan Jakarta: Ngeri, Ngeri Sangat!, Kata Saksi

Insiden letupan bersiri di hadapan salah sebuah pusat membeli-belah di Jakarta kini sudah meragut tujuh nyawa termasuk tiga anggota polis.


Letupan Jakarta
Letupan Jakarta: Ngeri, Ngeri Sangat!, Kata Saksi
Laporan media tempatan menjelaskan, tujuh siri letupan bom berlaku di kompleks berdekatan pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) itu.

Malaysian Digest mendapatkan respon beberapa warga tempatan bagi mengetahui lebih dekat situasi di kawasan tersebut.


Galih Sapto Sudrayo yang tinggal kira-kira satu kilometer dari tempat kejadian tidak dapat menyembunyikan perasaan takutnya diatas insiden tersebut.

"Ngeri, ngeri sangat.

"Ada helikopter, polis dan kenderaan tentera dimana-mana. Saya tinggal bersama isteri dan dua orang gaji dan syukur kami semua selamat," katanya.

Ujarnya, pihak polis kini mengarahkan semua penduduk supaya kekal berada di rumah masing-masing sementara pihak berkuasa kini mengepung seluruh bandar bagi tujuan keselamatan.

"Saya rasa orang ramai sudah sedikit tenang tetapi tiada siapa yang keluar dari rumah masing-masing dan kami memantau kejadian ini menerusi saluran TV yang menyiarkan laporan terkini," katanya sambil menjelaskan kesemua stesen TV tempatan menyiarkan mengenai insiden terbabit.

Letupan Jakarta

Dalam pada itu, warga Jakarta yang tidak berada di tempat kejadian turut bimbang dengan keselamatan ahli keluarga mereka yang bekerja di kawasan berdekatan.

"Saya terkejut tetapi, Alhamdulillah, keluarga kami selamat," kata Hilman, bapa kepada anak berusia empat tahun.

"Saya tidak begitu pasti apa sebenarnya yang berlaku tetapi apa yang dilaporkan Metro TV sekarang, mereka memaparkan rakaman orang bertempiaran, yang disiarkan di media sosial, dan ianya sangat menakutkan.


"Keadaan sangat tegang di sini. Sangat mendukacitakan dengan tindakan mereka 'mencapaikan keamanan menggunakan bom'," jelasnya.

Kata Hilman, adik perempuannya berusia 29 tahun bekerja di Bank Indonesia terletak berhampiran dengan kompleks beli-belah Sarinah, Jakarta, dimana kejadian letupan itu berlaku.

"Dia memberitahu ahli keluarga mengatakan kesemua pekerja kini tidak dibenarkan keluar dari pejabat. Lebih selamat jika kekal berada dalam pejabat," kata Hilman.

Letupan Jakarta

Sementara itu, seorang wanita berusia 31 tahun dari Jakarta Selatan berkata beliau tidak begitu pasti mengenai insiden tersebut dan hanya mendengar cakap-cakap dari rakan-rakannya.

"Kata-kata yang berlegar kini ada pengganas yang memandu di sekitar Jakarta dan mengugut orang ramai," kata wanita yang enggan namanya disiarkan.- Bernama


No comments