Luahan sayu anak juruterbang MH17 selepas 18 bulan pemergian bapanya

Selepas 18 bulan menerima takdir juruterbang Penerbangan Malaysia (MAS) MH17, Kapten Wan Amran Wan Hussin terkorban dalam nahas udara di Ukraine, tidak disangka-sangka sehelai kemeja-T putih milik arwah yang diterima bagaikan membawa arwah ‘pulang’ ke pangkuan mereka.


Luahan sayu anak juruterbang MH17 selepas 18 bulan pemergian bapanya
Mariyam (tengah) bersama dua anaknya, Wan Yunus (kanan) dan Wan Irfan membuka satu persatu bungkusan yang mengandungi barang milik Allahyarham Kapten Wan Amran.
Menurut isteri arwah, Mariyam Yusoff, walaupun kesemua barang dijaga dengan baik dan dibersihkan, tetapi kemeja-T itu berbeza kerana ia masih mempunyai bau suaminya.

“Ya Allah, syukur alhamdulillah. Walaupun sudah setahun enam bulan dia (arwah) meninggalkan kami, tetapi bajunya yang kami terima masih ada bau dia lagi.


“Bau ini seolah-olah masih baru, macam waktu arwah hendak pergi bertugas ke Amsterdam pada 15 Julai (2014) beberapa hari sebelum nahas,” kata Mariyam kepada mStar Online ketika ditemui di kediamannya pada Ahad.

Anak Mariyam, Wan Yunus Uzair, 13, dan Wan Yusuf Irfan, 11, turut sebak berkata: “Semua barang abah (panggilan untuk arwah) jadi pengubat rindu buat kami. Tetapi baju yang satu ini ada bau abah. Kami rindu abah.”

Mstar Online pada Khamis lalu melaporkan Mariyam menerima barang peribadi milik arwah suaminya ketika mengendalikan pesawat yang terbabit dalam nahas.

Tragedi pesawat MH17 yang ditembak jatuh di timur Ukraine pada 17 Julai 2014 dalam penerbangan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur, mengorbankan kesemua 295 penumpang dan anak kapal.

Buku kecil “Malaysia Operations Rating” antara barang mempunyai tulisan tangan Allahyarham Kapten Wan Amran.

Kesemua barang berkenaan disimpan di dalam sebuah kotak, disertakan dengan lampiran daripada sebuah firma yang pakar dalam bidang pengurusan krisis dan tindak balas bencana di seluruh dunia.

Antara lain barang peribadi milik Allahyarham Kapten Wan Amran ialah baju, seluar, tali pinggang, baju hujan, minyak wangi dan sebahagian lencana sayap MAS.

Selain kemeja-T putih itu, Mariyam turut sebak sebaik terpandang tulisan tangan arwah suaminya, apabila ia menggamit memori indah ketika hayat arwah.

Sebahagian lencana sayap MAS.
Sebahagian lencana sayap MAS.
Mariyam yang membuka bungkusan itu selepas tiga hari menerima bungkusan itu begitu tersentuh hatinya apabila melihat tulisan tangan arwah pada buku kecil “Malaysia Operations Rating” dan buku log penerbangan MAS itu.

Begitu mengenali tulisan tangan suaminya, Mariyam berkata, perkara itu membangkitkan semula kenangannya bersama arwah.
“Saya kenal tulisan arwah. Saya suka tulisannya, cantik dan kemas. Arwah pernah tulis kad ucapan untuk saya sempena ulang tahun kelahiran dan ulang tahun perkahwinan.

“Surat cinta yang ditulis arwah di awal perkenalan kami juga tidak pernah saya lupa, sebab itu apabila melihat barang-barang yang ada tulisan dia buat saya cukup tersentuh,” katanya.

Wan Irfan mencium sapu tangan milik arwah ‘abah’
Wan Irfan mencium sapu tangan milik arwah ‘abah’

Sepanjang ‘sesi’ membuka setiap barang peribadi milik Allahyarham, Mariyam beberapa kali sebak sehingga bergenang air mata.

Sapu tangan dan kain pelikat milik arwah suami juga mempunyai nilai sentimental tersendiri yang menjadi pengubat rindu buat Mariyam dan dua anaknya.


Turut menyentuh perasaan anak-beranak itu adalah sewaktu membuka bungkusan yang mengandungi baju kemeja-T putih milik juruterbang berkenaan.

Baju kemeja putih yang dipakai Allahyarham Kapten Wan Amran
Baju kemeja putih yang dipakai Allahyarham Kapten Wan Amran semasa bertugas ke Amsterdam pada 15 Julai 2014, beberapa hari sebelum nahas.

“Kami turut terima baju kemeja putih dipakai arwah semasa bertugas ke Amsterdam. Tetapi kami berharap kalau dapat baju yang dipakai arwah dalam penerbangannya semasa nahas,” katanya sambil menambah terdapat barang-barang lain milik juruterbang itu masih belum diterima sehingga kini.

Mariyam bagaimanapun berkata, kesemua barang berkenaan yang diterima pada Khamis lalu merupakan kenangan terakhir mereka bersama juruterbang itu.

“Kami reda dengan pemergian arwah. Kemuliaan arwah sebagai suami dan ayah memberi semangat kepada kami untuk tabah menjalani kehidupan,” katanya.

Sumber Berita & Foto: mStar.


No comments