Terkini

Mak saya bilang hadiah tak harus dikembalikan…

Terkejut biawak saya tatkala terbaca pengumuman oleh Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali bahawasanya Yang Amat Berhormat Datuk Seri Najib Razak telah mengembalikan semula sebahagian besar, yakni RM2.03 billion, daripada dana RM2.6 bilion yang diterima daripada keluarga diraja Arab Saudi pada Ogos 2013 yang lalu.



Menurut beliau, ini ekoran daripada lebihan dana tersebut yang tidak diguna pakai. Saya tak tahulah apa pendapat para pembaca mengenai perkara ini, tetapi isu ini mengingatkan saya akan nasihat dan pedoman mak saya mengenai pemberian orang.


Menurut mak saya, kalau sekiranya ada orang memberi hadiah, buah tangan atau apa saja bentuk pemberian kepada kita secara ikhlas, maka haruslah kita menerimanya dengan tangan terbuka dan bersyukur.

Maka saya bilang lagi, tabiat menolak pemberian ikhlas orang ataupun lebih teruk lagi, memulangkan hadiah orang kepada kita merupakan sifat yang kurang baik kerana bukan sahaja kita menghiris perasaan pihak yang memberi, tetapi juga menolak rezeki daripada Tuhan.

Memanglah tangan yang memberi itu lebih baik daripada tangan yang menerima dan tindakan Yang Amat Berhormat memulangkan lebihan dana tersebut boleh dilihat sebagai mengangkat tarafnya bukan sahaja sebagai seorang insan yang jujur bahkan juga amanah, namun pada firasat saya, kan lebih afdal sekiranya hadiah dana itu digunakan untuk memberi sumbangan kepada beratus, beribu mahupun berjuta rakyat Malaysia.

Maksud saya, bayangkanlah segala amal jariah, kebajikan, bantuan serta pembangunan yang dapat dinikmati oleh segenap rakyat negara kita jika Yang Amat Berhormat Perdana Menteri tidak memulangkan pemberian ikhlas keluarga diraja Arab Saudi yang sebegitu besar jumlahnya itu.

Macam-macam boleh dilakukan dengan lebihan dana RM2.03 billion tersebut, contohnya:

  • Biasiswa JPA boleh diteruskan seperti sediakala.
  • Pengurangan pekerja Petronas boleh dihindari.
  • Menambah dana bagi kementerian-kementerian yang mengalami pemotongan bajet.
  • Tak perlulah kerajaan komplen kekurangan dana bagi menangani ancaman terroris.
  • BR1M boleh digandakan daripada RM900 ke RM1800 demi kesejahteraan rakyat.
  • Boleh digunakan untuk membeli jet peribadi baru bagi kegunaan YAB PM.
  • Boleh lah dibuat belanja shopping Wanita Pertama yang kita kasihi.
  • Memperkenalkan lebih banyak projek seperti NFC dan AES yang pastinya mendapat tempat di hati rakyat.
  • Menggunakannya sebagai subsidi kangkung agar rakyat tidak terkengkang dengan kos sara hidup tinggi.

Aaaah…bayangkanlah semua kebaikan yang dapat dikecapi dengan rezeki yang ditolak itu. Sayangnya kini, nasi sudah pun menjadi bubur. Alahai.


Tapi tidak mengapa, mak saya juga ada bilang bahawa kita belajar daripada kesilapan yang lalu. Jadi sekiranya Yang Amat Berhormat Datuk Seri Najib diberkati dana berbilion ringgit sekali lagi di masa hadapan, besarlah harapan saya agar beliau tidak merugikannya dengan memulangkannya semula. Insya Allah.

Sumber: Pendapat Pembaca Free Malaysia Today


No comments