‘Mak, saya penat, bila nak ‘repair’ basikal untuk ke sekolah?’ – keluhan anak ibu tunggal

Menjelang permulaan musim sekolah penggal 2016, pastinya ramai antara ibubapa sudah selesai membuat persiapan persekolahan anak-anak. Bagaimanapun, masih ada antara mereka yang belum lagi membuat sebarang persiapan, bukan kerana memandang enteng perihal pendidikan anak-anak tetapi kerana dihimpit kesukaran hidup.


‘Mak, saya penat, bila nak ‘repair’ basikal untuk ke sekolah?’ – keluhan anak ibu tunggal
‘Mak, saya penat, bila nak ‘repair’ basikal untuk ke sekolah?’ – keluhan anak ibu tunggal
Astro AWANI menjejaki ibu tunggal yang berdepan cabaran untuk memberikan yang terbaik kepada anak-anaknya yang akan meneruskan sesi persekolahan nanti.

“Anak orang tu dia kata, boleh pakai beg mahal tapi mengapa kami tidak boleh. Saya cakap dekat mereka (anak-anaknya), korang kena tengok muka mak ni, baru tahu macam mana,” itu antara rungutan anak-anak, Azizah Ashaari, 52, ibu tunggal beranak 14.


Kini lima anaknya masih bersekolah dan dia terpaksa meneruskan kelangsungan hidup hanya dengan bantuan RM350 daripada Lembaga Zakat Selangor.

Namun, Azizah akui bahawa kadang kala dia perlu berdiam diri, tidak terdaya menjawab kerana kesempitan wang membataskan dirinya memberi keselesaan hidup kepada keluarganya

“Sedih…sebab anak-anak saya tak macam anak orang lain. Kadang-kadang nak pergi sekolah tak ada kenderaan. Naik basikal, basikal pula rosak, pancit, jadi berbulan-bulan kena jalan kaki.

“Kadang-kadang mengeluh juga, mereka cakap “mak penat, bila nak baikibasikal? Kadang kita terpaksa diam, buat macam tidak tahu je,” ujar Azizah ketika ditemui Astro AWANI di kediamannya di Kampung Padang Jawa di sini pada Sabtu.

Azizah mengakui dia bukan hanya bergelar ibu, malah memegang tanggungjawab bapa selain perlu menyara salah seorang anaknya yang merupakan anak kelainan upaya.

Bertambah perit, menjelang sesi persekolahan kali ini, dia hanya mampu berdiam diri apabila digasak soalan perihal persediaan sekolah buat anak-anaknya.

“Lagi seminggu hendak sekolah mereka tanya, “mak tak beli baju lagi ke? macam mana ni?” Macam itu lah kadang-kadang.

“Saya rasa macam berat sangat, saya nak kena jadi mak, saya nak kena jadi bapa,” katanya sambil menambah dia hanya mampu redha dengan ketentuan Allah yang menimpa dirinya.

Selain itu, Azizah kadang kala berasa jauh hati kerana tidak mampu memberi kesenangan hidup kepada anak-anaknya.

Pesannya, biarlah memandang mereka yang lebih susah dan bukan menyanjung mereka yang lebih mewah.

“Kita ini tidak ada macam tu (macam orang lain), jangan nak kita adakan, takkan nak suruh mak minta sedekah, kalau dah benda macam tu tak cukup kan. Makan pun kadang kita pun…(sebak) ramaikan sembilan orang masih dalam jagaan masih sekolah, baru nak kerja,” katanya dalam nada sebak.

Namun hati seorang ibu, Azizah hanya mahu anak-anaknya meneruskan pendidikan walaupun serba kekurangan kerana Azizah percaya, ilmu mampu mengubah nasib seseorang.

Sementara itu, salah seorang anak Azizah, Fatimah Alzahra, 17, cukup matang mengerti keperitan hidup yang dilalui ibunya.

Katanya, biarlah mereka dilihat sebagai keluarga yang susah, namun itu bukan penghalang kepadanya untuk menimba ilmu.

Gadis remaja yang bakal memulakan tingkatan lima ini bersemangat untuk belajar walaupun kelengkapan persekolahannya masih belum disediakan.


“Nak masuk sekolah tu semangat lah tapi, dah kami tiada duit nak beli, kami pakai yang lama je, kalau ada duit lebih beli lah yang baru,” luah Fatimah yang membuat kami sebak.

Fatimah mengakui, ibunya sedaya upaya memberi yang terbaik kepada mereka 14 beradik walaupun pada hakikatnya ibunya tidak berkemampuan.

“Mak memang tak ada duit, mak susah, tapi mak selalu cakap dengan kami, “mak ada duit, mak O”. Sedih tengak mak macam ni.

“Mak kata, jangan jadi mcm mak, tak nak anak mak susah macam mak, kami pergi sekolah tiada duit belanja pun kami pergi je, kami tak fikir apa mereka cakap dekat kami, kami tahan je, kami kuatkan semanagt kami. Kami nak sekolah, kami nak berjaya,” katanya.

Apabila ditanya apa cita-citanya, Fatimah tidak menyatakan pekerjaan yang diidamnya.

Sebaliknya dia hanya menjawab ingin membantu sekaligus mengubah nasib keluarganya.
Sumber : Awani News


No comments