Penyiasat Belanda Kaji Tuntutan Wartawan Dalam Siasatan MH17

THE HAGUE: Pendakwa raya Belanda akan mengkaji secara serius tuntutan wartawan negaranya untuk mengenal pasti tentera Rusia yang terbabit dalam menembak jatuh pesawat MH17 di timur Ukraine pada Julai 2014.


#Pray4MH17
#Pray4MH17
Tuntutan itu dibuat oleh sekumpulan wartawan penyiasat yang berpangkalan di British yang menggelarkan diri mereka Bellingcat.

"Kami menerima laporan itu selepas Krismas. Kami akan mengkajinya secara serius dan akan menentukan sama ada laporan Bellingcat itu boleh digunakan untuk siasatan jenayah atau tidak,” kata jurucakap pendakwaraya Belanda, Wim de bruin kepada AFP.


Pesawat Malaysia Airlines MH17 ditembak jatuh ketika terbang pada ketinggian 30,000 kaki dan terhempas di kawasan bergolak Ukraine berhampiran sempadan Rusia.

Sebanyak 298 mangsa terkorban dalam tragedi itu, termasuk 43 rakyat Malaysia.

Negara-negara Barat dan Ukraine berkata peluru berpandu dilancarkan dari wilayah yang dicengkam pejuang pemisah pro-Rusia, namun Moscow menafikan dakwaan itu dengan menuding jari kepada tentera Ukraine.

Belanda telah menjalankan siasatan jenayah mengenai pihak yang bertanggungjawab atas kejadian tersebut, namun banyak pihak lain yang mencurigai usaha itu akan berjaya.


Pada 2014, Bellingcat melaporkan pelancar BUK itu dikesan pada 17 Julai di di kawasan yang dikuasai pemberontak pro-Rusia.

Laporan itu turut mendakwa senjata tersebut adalah daripada konvoi tentera Rusia briged anti-pesawat ke-53 berpangkalan di Kursk namun dikawal berdekatan sempadan Ukraine. -Astro Awani


No comments