Terkini

Najib kata tidak kenal penderma RM2.6 bilion, Lapor Portal

KUALA LUMPUR, Jumaat – Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menegaskan bahawa sumbangan RM2.6 billion yang diterimanya daripada penderma Timur Tengah tidak boleh dijadikan alasan pembelaan dalam kes saman fitnah ke atasnya.


Najib kata tidak kenal penderma RM2.6 bilion, Lapor Portal

Merujuk kepada bekas Presiden MCA, Tun Dr Ling Liong Sik yang menyamannya, Najib berkata, sumbangan berkenaan adalah daripada individu yang tidak dikenali dan ia merupakan derma peribadi.

“Oleh itu, tidak wujud isu beliau melanggar perlembagaan UMNO dan peraturan penyata kewangan parti bagi 2013 dan 2014.

“Sebarang penggunaan (derma itu) ialah urusan antara plaintif (Najib) dan parti, dan tidak ada kena mengena dengan defendan (Dr Ling),” lapor sebuah portal berita hari ini yang mendakwa melihat dokumen pliding Perdana Menteri.


Pliding ialah pernyataan bertulis secara formal mengenai sebab sesuatu tindakan atau pembelaan yang dikemukakan oleh plaintif dan defendan di dalam sesuatu tuntutan mahkamah.

Najib dalam satu kenyataan pembelaan yang difailkan pada 12 Januari lalu berkata, Dr Ling tidak ada asas undang-undang membangkitkan perkara itu sebagai salah satu hujah pembelaannya.

Ini berikutan Dr Ling mendakwa Najib tidak layak memimpin Malaysia kerana menerima sumbangan RM2.6 bilion itu dan RM42 juta daripada syarikat milik Kementerian Kewangan, SRC International Sdn Bhd, bekas anak syarikat 1Malaysia Development Bhd (1MDB).

Ini kerana jika wang RM2.6 bilion itu memang benar-benar sumbangan derma, maka wang itu hanya boleh digunakan untuk parti.

Atas alasan itu, Dr Ling mendakwa Najib melanggar Artikel 26.2 dan 27.2 perlembagaan UMNO kerana sumbangan itu sepatutnya disimpan dalam bank komersial atau oleh pemegang amanah parti.

Apatah lagi penyata kewangan UMNO bagi tahun 2013 dan 2014 juga tidak merekodkan sumbangan RM2.6 bilion itu.

“Ini menimbulkan keraguan serius sama ada RM2.6 bilion itu benar-benar sumbangan untuk parti,” katanya.

Dakwaan ini muncul apabila Julai tahun lalu akhbar Wall Street Journal mendedahkan bahawa penyiasat mendapati wang RM 2.6 bilion telah disalurkan ke dalam akaun peribadi Najib.

Sumbangan yang dikatakan itu dibuat pada Mac 2013, hanya kira-kira 2 bulan sebelum Pilihan Raya Umum ke-13.

“Dengan menyalurkan RM2.6 bilion itu ke dalam akaun bank peribadinya, paling kurang pun, plaintif mencipta persepsi umum yang dia tidak jujur dan telus atau terbabit dalam politik wang untuk beli pilihan raya,” kata Dr Ling.


Katanya, Najib hanya mengakui menerima sumbangan itu selepas pendedahan dibuat The Wall Street Journal dan Sarawak Report pada Julai tahun lalu.

“Ini bermakna wujud tempoh senyap di pihak Najib selama lebih 2 tahun.

“Defendan (Dr Ling) hanya boleh mengagak yang plaintif (Najib) tidak akan mendedahkan sumbangan yang dikatakan itu jika tidak kerana pendedahan yang dibuat dan disusuli bantahan awam,” katanya dalam pembelaan dan tuntutan balas yang difailkan 14 Disember lalu.


No comments