Najib terlepas pendakwaan tapi tidak selamat secara politik, kata penganalisis

Undang-undang mungkin berpihak kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berhubung derma RM2.6 bilion tetapi beliau tidak menang dalam mahkamah awam, kata penganalisis politik, susulan skandal itu tercemar dengan tanda wujudnya campur tangan politik.


Najib terlepas pendakwaan tapi tidak selamat secara politik, kata penganalisis

Penganalisis berpendapat, pengumuman peguam negara berhubung pembebasan Najib daripada salah laku jenayah ketika menerima wang ke dalam akaun bank peribadinya dan lebih RM4 bilion pinjaman kepada syarikat milik Kementerian Kesihatan, SRC International Sdn Bhd tidak akan membantu perdana menteri mendapatkan semula kepercayaan rakyat.

Lebih pula, penjelasan Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali semalam, Najib memulangkan wang yang diberikan kepadanya sebelum Pilihan Raya Umum ke 13 (PRU) pada Mei 2013, tidak termasuk AS$61 juta yang tidak dikira, kata penganalisis Dr Lim Teck Ghee.


Kemerosotan kepercayaan juga akan berterusan hingga PRU14 akan datang yang dijangka pada 2018 tetapi apabila tiba masanya nanti, ia juga mungkin tidak menjadi isu lagi kerana pengundi Malaysia cepat lupa, katanya.

Tidak percaya dan campur tangan

Salah satu masalah besar membabitkan 2 skandal itu, terutama derma RM2.6 bilion, ialah bagaimana ia “tidak boleh dipercayai” sejak awal, kata pakar politik Prof James Chin dari Tasmania University Australia.

Rasa tidak percaya bermula daripada cara pentadbiran Najib memberi respons terhadap tuduhan RM2.6 bilion dimasukkan ke dalam akaun bank peribadi Najib.

“Majoriti rakyat tidak percaya bagaimana seseorang boleh beri dia RM2.6 bilion. (Jika ia benar-benar RM2.6 bilion) kita masih ragu-ragu, siapa yang sempurna akalnya akan derma RM2.6 bilion?” kata Chin kepada The Malaysian Insider.

Penjelasan mengenai perkara itu, secara berdolak-dalik memandangkan Najib enggan memberikan penjelasan secara terbuka di Parlimen, juga menambah lagi rasa tidak percaya rakyat.

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan pada 3 Ogos, wang itu adalah sumbangan politik dari Timur Tengah.

Tetapi pengakuan itu hanya dibuat selepas hampir sebulan The Wall Street Journal (WSJ) mula-mula melaporkannya pada 2 Julai tahun lalu mengenai aliran wang ke dalam akaun bank peribadi Najib.

Laporan WSJ berdasarkan kepada dokumen dibocorkan penyisasat Malaysia yang menyiasat syarikat pelaburan diilhamkan Najib, 1Malaysia Development Bhd (1MDB).

Dan hanya semalam – 6 bulan selepas itu – Apandi mengenal pasti pendermanya sebagai “keluarga Diraja Arab Saudi” dan berkata Najib memulangkan semula AS$620 juta daripada AS$681 juta yang diberikan, pada Ogos 2013.

Ini membangkitkan persoalan di mana AS$61 juta itu hilang.

“Sukar untuk menerimanya atau penjelasan lain. Keseluruhan cerita tidak masuk akal; perinciannya juga tidak cukup,” kata Lim.

Jika rakyat percaya pun penjelasan Apandi, masih timbul persoalan sama ada rakyat Malaysia akan suka atau tidak dengan pembabitan kuasa asing dalam politik negara, kata Lim.

Masalah utama lain ialah kredibiliti siasatan itu sendiri.

Pasukan petugas khas peringkat tinggi yang menyiasat skandal itu dibubarkan, bekas peguam negara dan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) yang dipandang tinggi disekat ketika siasatan mereka sedang rancak dijalankan.

Lebih teruk lagi, pegawai SPRM dipindahkan dan disiasat polis atas alasan membocorkan maklumat.

Perpindahan itu kemudiannya ditarik balik selepas menerima tekanan masyarakat umum.

“Kami ada banyak soalan tidak berjawab selain cubaan mematahkan siasatan, bukannya pendedahan penuh dari awal.

“Masyarakat akan melihat keputusan peguam negara sebagai satu lagi usaha menutup kesalahan,” kata Lim.

Adakah pengundi akan ingat?

Malam tadi, beberapa jam selepas pengumuman Apandi, Najib menggelarkan keseluruhan kisah itu sebagai “gangguan yang tidak perlu” dan menggesa rakyat Malaysia meneruskan kehidupan.

Ini membawa kepada soalan paling penting – sama ada penurunan kepercayaan itu akan akhirnya menenggelamkan beliau dan Barisan Nasional (BN) pada 2018.

Chin berkata, beliau tidak percaya pengurangan kepercayaan akan mendatangkan akibat secara politik atau ia akan menjejaskan sokongan kepada gabungan pemerintah pada PRU akan datang.

“Jika Najib boleh ketepikan semua tuduhan undang-undang dan menutup 1MDB, semua skandal ini tidak akan jadi isu lagi menjelang 2018,” kata Chin.


Lim bersetuju masyarakat awam cepat lupa tetapi berhujah sokongan di kalangan pengundi bandar akan tetap hilang.

Wan Saiful Wan Jan dari Institut Hal Ehwal Demokrasi dan Ekonomi (Ideas) berpendapat masyarakat mudah lupa masih boleh dipertikaikan kerana isu itu bukan mudah dibuang.

Ini kerana jika Najib mengakui memperoleh sumbangan RM2.6 bilion pada 2013, persoalan pada 2018 ialah berapa banyak pula beliau terima pada PRU14, kata Wan Saiful.

“Keputusan peguam negara ini bukan situasi yang memenangkan Najib. Kes itu mungkin sudah ditutup, tetapi bagi masyarakat, ia belum lagi.” – The Malaysian Insider 27 Januari, 2016.


No comments