Peguam negara jadi hakim, pendakwa bersihkan Najib, kata Tun Mahathir

Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini menuduh Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali memainkan peranan sebagai hakim dan pendakwa untuk membersihkan Datuk Seri Najib Razak daripada kesalahan derma RM2.6 bilion dalam akaun peribadinya.


Peguam negara jadi hakim, pendakwa bersihkan Najib, kata Tun Mahathir

"Keputusan itu adalah satu penghakiman. Peguam negara adalah hakim dan pendakwa," kata bekas perdana menteri itu dalam tulisan terbarunya di blog chedet.cc hari ini.

"Ini adalah ketidakadilan."


Menurut Dr Mahathir, beliau tidak terkejut dengan pengumuman dilakukan peguam negara semalam, mengatakan Najib tidak melakukan sebarang salah laku jenayah berhubung wang derma RM2.6 bilion dalam akaun bank peribadinya atau sejumlah wang tambahan RM42 juta yang juga didepositkan ke dalam akaun sama.

"Saya sudah katakan yang ini akan menjadi keputusannya," katanya.

Beliau menambah, walaupun Najib disahkan tidak melakukan sebarang salah laku, tetapi memperoleh sejumlah wang sedemikian sudah merupakan satu kesalahan.

Tetapi peguam negara mengesahkan wang itu merupakan hadiah daripada penderma Arab Saudi, namun, Dr Mahathir mempersoalkan individu tersebut.

"Terdapat surat daripada penderma Arab Saudi itu menyatakan sejumlah AS$681 juta atau RM2.08 bilion sebagai derma kepada perdana menteri untuk mengekang pengganas Islam.

"Siapa penderma Arab ini? Bagaimana beliau mempunyai sejumlah wang sebesar itu? Apakah perniagaan beliau? Bagaimanakah wang tersebut dipindahkan? Dokumen apa yang membuktikannya? Hanya dengan surat daripada orang yang mati atau seseorang yang tidak berkepentingan sudah cukup untuk peguam negara?"

Dr Mahathir turut mempersoalkan bagaimana baki wang AS$620 juta atau RM2.03 bilion dipulangkan kepada penderma Arab Saudi itu.

"Bagaimana dan bila ia dilakukan? Kita diberitahu baki tersebut dibekukan Singapura.

"Bolehkah Singapura menjelaskan ketidakbekuan baki berkenaan dan pulangan semula kepada Arab Saudi? Atau Singapura juga percaya dengan cerita pemberian 'hadiah' tersebut, surat dan pengakuan Arab Saudi?

"Singapura merupakan pusat kewangan. Bolehkah ia terlalu mudah tertipu?"

Pada sidang media semalam, Apandi menjelaskan tidak ada bukti menunjukkan Najib menyalahgunakan kuasa dalam Kabinet untuk meluluskan jaminan kerajaan untuk pinjaman RM4 bilion kepada SRC International.

Apandi berkata, ini adalah sebab mengapa nama Najib dibersihkan daripada sebarang kesalahan jenayah yang melibatkan SRC International.

"Saya berpuas hati tiada kesalahan jenayah dilakukan.

"Di bawah Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009, tiada bukti yang menunjukkan Yang Amat Berhormat Perdana Menteri menyalahgunakan kedudukannya dalam mesyuarat Kabinet yang meluluskan jaminan kerajaan ke atas pinjaman RM4 bilion kepada SRC International daripada Kumpulan Wang Persaraan Diperbadankan atau KWAP," kata Apandi pada sidang media di pejabatnya di Putrajaya semalam.


Beliau juga mengumumkan Najib dibersihkan daripada sebarang salah laku jenayah ke atas sumbangan RM2.6 bilion yang diterima ke dalam akaun bank peribadinya.

SRC awalnya di bawah 1Malaysia Development Bhd (1MDB) sebelum dipindahkan kepada kementerian kewangan pada 2012, selepas pinjaman RM4 bilion daripada dana pencen dikeluarkan sepenuhnya. TMI – 27 Januari, 2016.


No comments