Terkini

Pelajar Patah 2 Kaki Dihempap Dinding Konkrit Yang Runtuh

Kota Kinabalu – Seorang pelajar tingkatan dua Sekolah Menengah Kebangsaan Beaufort patah kedua-dua kaki apabila dihempap dinding konkrit yang runtuh di sekolahnya di Beaufort pagi tadi.


Pelajar Patah 2 Kaki Dihempap Dinding Konkrit Yang Runtuh
Pelajar Patah 2 Kaki Dihempap Dinding Konkrit Yang Runtuh
Ketika kejadian yang berlaku kira-kira pukul 8.10 pagi, pelajar tersebut, Mohd Riduan Fitri Ramli sedang bermain bersama tiga rakannya sebelum struktur itu yang merupakan sebahagian daripada sebuah pondok yang tidak digunakan lagi, runtuh dan menghempap mangsa.

Ketua Polis Daerah Beaufort DSP Azmir Abd Razak ketika dihubungi mengesahkan kejadian tersebut dan pelajar berkenaan dibawa ke Hospital Queen Elizabeth 2 (HQE2) di sini untuk rawatan.


Pengarah Pendidikan Sabah Datuk Jame Alip yang ditemui di hospital itu berkata beliau kesal dengan kejadian yang menimpa Mohd Riduan Fitri.

“Kita minta semua sekolah supaya meruntuhkan mana-mana struktur konkrit atau memagarkan bangunan sekolah yang tidak digunakan sebagai kawasan larangan demi keselamatan pelajar,” katanya.

Bagaimanapun, tiga rakan mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan, katanya.

Sementara itu, bapa saudara mangsa Jefferi Abd Rahman, 49, berkata Mohd Riduan Fitri, anak ketiga daripada 12 adik-beradik, dalam keadaan stabil ketika dibawa ke HQE2 dan ditemani bapanya Ramli Abd Rahman, 54.

Mangsa tiba di hospital berkenaan kira-kira pukul 4 petang tadi.

“Dia (mangsa) dalam keadaan sedar dan menangis juga kerana kesakitan. Betis kiri dan paha kanannya patah dan akan disimen,” katanya, lapor Bernama.



No comments