Penduduk Kampung Bayar Bil Elektrik Dengan Hasil Pertanian

JAKARTA – Kira-kira 600 keluarga Indonesia di empat buah kampung di Ponoroggo, Jawa Timur membayar bil elektrik menggunakan hasil pertanian seperti ubi kayu, pisang dan itik.


Penduduk Kampung Bayar Bil Elektrik Dengan Hasil Pertanian

Keadaan itu berlaku sejak 2011, selepas buat pertama kalinya penduduk di kampung Andung Biru, Tiril, Sumber Duren, dan Roto Probolinggo menerima bekalan elektrik di kediaman mereka.


Bekalan elektrik tersebut disalurkan selepas sebuah loji jana kuasa hidro kecil berkapasiti 40 kiloWatt dibina di wilayah itu.

Seorang penduduk Anjung Biru, M Rosid berkata, jana kuasa yang dibina Perusahaan Gas Negara dengan kerjasama Universiti Brawijaya mampu menerangi 600 buah rumah di empat kampung.

“Alhamdulillah, pada waktu malam kampung di sini jadi terang dan kanak-kanak boleh belajar serta keluarga boleh menonton televisyen setiap malam,” katanya.

Uniknya, penduduk kampung berkenaan tidak membayar bil elektrik dengan wang tunai tetapi dengan hasil pertanian seperti ubi kayu hinggalah ke itik.

“Penduduk di sini majoritinya bergantung pada hasil pertanian dan tidak berkemampuan.

“Sebab itu kami dibenarkan membayar bil elektrik dengan hasil pertanian seperti ubi kayu, pisang, ayam dan itik,” jelasnya. – Agensi/myMetro Online



No comments