Terkini

Perpustakaan Awam Kuala Lumpur Terbakar, 50 Orang Selamat

KUALA LUMPUR – Tindakan pantas pengawal keselamatan dan staf Perpustakaan Kuala Lumpur di sini, berjaya menyelamatkan kira-kira 50 orang termasuk pelawat bangunan itu daripada terlibat dalam kebakaran pagi semalam.


Perpustakaan Awam Kuala Lumpur Terbakar
Perpustakaan Awam Kuala Lumpur Terbakar
Dalam kejadian kira-kira 9.45 pagi, kira-kira 20 peratus stuktur luar bangunan yang diperbuat daripada campuran material fiber dan bata hangus terbakar, manakala bahagian dalam tidak terjejas.


Pengawal keselamatan bertugas, Faizah Asari berkata beliau bertindak memaklumkan pegawai kanan perpustakaan berkenaan sejurus menyedari kebakaran di bahagian pintu utama bangunan yang sedang diubah suai.

“Semasa kebakaran, kontraktor tengah mengimpal ‘awning’ untuk pintu utama. Kejadian memang berlaku sangat cepat, tak sampai lima minit api terus merebak sampai ke bumbung,” katanya ketika ditemui.

Pustakawan Kanan Norizam Abdul Ghani berkata beliau terus menghubungi bomba selepas dimaklumkan mengenai kejadian oleh pengawal keselamatan dan mengarahkan semua staf serta pelawat mengosongkan bangunan dengan segera.

“Perpustakaan dibuka pada pukul 2 petang setiap Isnin, jadi memang tak ramai orang kecuali staf, manakala pelawat yang ada cuma mereka yang menggunakan fasiliti perpustakaan untuk mengambil peperiksaan jabatan, jadi memang nasib baik,” katanya.

Berikutan itu, beliau berkata perpustakaan akan ditutup mulai hari ini sehingga dimaklumkan kelak.

Dalam pada itu, Komander Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Kumpur Amrdan Mahat berkata pihaknya tiba sejurus menerima panggilan kecemasan dan berjaya mengawal kebakaran sepenuhnya pada 10.49 pagi.

“Seramai 39 anggota dan pegawai dari balai bomba Hang Tuah, Titiwangsa dan Sentul ke lokasi,” katanya.

Beliau berkata tiada kemalangan jiwa dilaporkan. – BERNAMA



No comments