Polis minta jangan spekulasi pesawat MH370 ditemui di Terengganu

Penemuan serpihan didakwa daripada pesawat menimbulkan spekulasi ia mungkin milik pesawat Malaysia Airlines MH370 yang hilang hampir 2 tahun lalu.


Polis minta jangan spekulasi pesawat MH370 ditemui di Terengganu

Terengganu: Polis Terengganu mengingatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi berhubung penemuan objek yang dipercayai serpihan pesawat yang dijumpai di Kampung Benting Lintang, di Besut semalam.

Ketua Polis Terengganu Datuk Rosli Ab Rahman berkata siasatan lanjut berhubung penemuan objek itu sedang dilakukan pihak yang berkenaan.


Katanya, wakil daripada jabatan dan agensi terlibat hadir melakukan pemeriksaan pada serpihan dan di lokasi penemuan objek terbabit.

“Biar pihak berkaitan jalankan siasatan lanjut berhubung penemuan tersebut terlebih dahulu bagi mengenal pasti serpihan objek yang ditemui itu.

“Kami harap orang ramai tidak melakukan sebarang spekulasi sehingga kenyataan rasmi dikeluarkan,” katanya ketika dihubungi di Besut, hari ini.

Semalam, penduduk di Kampung Benting Lintang gempar dengan penemuan satu objek didakwa serpihan bangkai pesawat di pantai berhampiran.

Penemuan serpihan itu sekali gus menimbulkan spekulasi ia mungkin milik pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 yang hilang hampir 2 tahun lalu.

Sementara itu, sekumpulan wakil Jabatan Penerbangan Awam (DCA) dan MAS hadir di lokasi penemuan bagi memeriksa objek didakwa serpihan pesawat itu.

Proses pemeriksaan berlangsung kira-kira sejam.

Pesawat MH370 hilang ketika dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Beijing pada 8 Mac 2014 dengan membawa 239 penumpang termasuk 12 anak kapal. – Bernama.



No comments