Putuskan segera isu aurat dan hidangan arak dalam MAS – NUFAM

Kerajaan digesa supaya membuat keputusan terhadap isu pemakaian hijab dan larangan anak-anak kapal beragama Islam menyediakan arak kepada para penumpang Malaysia Airlines System (MAS).


isu aurat dan hidangan arak dalam MAS
Putuskan segera isu aurat dan hidangan arak dalam MAS – NUFAM (Foto: FMT)
Perkara itu ditegaskan oleh Presiden Kesatuan Anak-anak Kapal Kebangsaan (NUFAM), Ismail Nasarudin apabila menyatakan, isu berkenaan sememangnya telah lama diperjuangkan namun, jawapan yang diterima sangat mengecewakan.


“Isu ini telah dibincangkan banyak kali kerana ia dibangkitkan sendiri oleh anak-anak kapal. Tetapi jawapan yang diterima sukar untuk berbuat demikian,” katanya yang dipetik dari sebuah laman portal.

BACA: Jawapan 'mengejutkan', mengapa MAS masih hidang arak dalam pesawat

Ismail tidak menolak pendirian MAS itu adalah disebabkan syarikat penerbangan berkenaan mempunyai tanda dagangan antarabangsa yang menawarkan perkhidmatan kepada pelbagai penumpang bukan Islam di seluruh dunia.

Menurut Ismail Kementerian Pengangkutan pernah mengadakan perbincangan mengenai perkara tersebut dengan pegawai-pegawai kesatuan serta membuat keputusan untuk meletak pendirian mengenai isu berkenaan.

BACA: Pramugari menangis tak dibenar bertudung, dipaksa hidang arak – Mufti Perlis

“Isu ini dibangkitkan lagi oleh sesetengah pihak dan telah dibincangkan di Parlimen tetapi tidak ada apa-apa yang berlaku.

“Walaupun pemakaian hijab merupakan niat yang baik tetapi pada pandangan holistik, soalan-soalan yang perlu dijawab adalah sama ada MAS boleh mematuhi Syariah?

“Ahli kesatuan kami juga sebelum ini membuat permintaan kepada syarikat tetapi adakah syarikat penerbangan itu mahu mengubah dasar kerja untuk anak-anak kapal Islam?,” ujarnya.

Tambah Ismail lagi, isu pemakaian hijab di tempat kerja sepatutnya terkandung dalam persekitaran tempat kerja kerana ia boleh dianggap sensitif oleh undang-undang Syariah begitu juga dengan larangan menghidangkan arak oleh pekerja beragama Islam.


Katanya, sebagai pekerja, anak-anak kapal juga terperangkap dalam standard prosedur syarikat.

“Keadaan ini menyukarkan anak-anak kapal Islam untuk melaksanakan tugas sedangkan mereka tahu perbuatan itu salah. Terdapat juga isu semasa anak-anak kapal sedang berpuasa tetapi pada masa terpaksa menghidangkan alkohol,” ujarnya.

Sehubungan itu, tegas beliau, kerajaan sepatutnya melihat isu ini dan membuat sesuatu dalam menangani masalah berkenaan.

Operasi Rayani Airlines yang patuh Syariah adalah satu langkah betul dan tepat dan langkah yang diambil oleh syarikat penerbangan itu patut membuka mata semua pihak. - FMT


No comments