Terkini


Realiti siswi tiada makanan, hanya teguk air kosong, diejek kerana miskin

Semalam cerita pelajar Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di Bangi sering ikat perut hingga mencederakan usus. Kali ini siswi Universiti Sultan Zainal Zainal Abidin (UniSZA) di Kuala Terengganu pula mendedahkan dirinya sudah biasa berlapar, hanya meneguk air kosong tanpa menjamah makanan akibat kesempitan wang.


Realiti siswi tiada makanan, hanya teguk air kosong, diejek kerana miskin
Gambar Mahasisiwi Baru Diploma Kemasukan 2015/2016 (Foto: UniSZA)
Pelajar tahun dua diploma teknologi maklumat Fatin Farhana Azwa Rasdy berkata ada kalanya beliau minum sahaja sebagai “alas perut” kerana belum mendapat pinjaman atau sudah kehabisan wang di hujung semester.

Baca: Siswa kelaparan, 300 bungkus makanan percuma ‘bersih’ tidak sampai 10 minit


“Selepas ditolak yuran pengajian, biasanya saya akan memperoleh baki kira-kira RM1,000 namun sedikit daripada wang itu saya kirimkan kepada keluarga di kampung untuk perbelanjaan enam lagi adik yang masih bersekolah.

“Baki yang tinggal saya gunakan untuk membeli makanan, buku dan peralatan menyiapkan tugasan pelajaran,” katanya seperti dipetik Harian Metro hari ini.

Fatin berkata dia tidak kisah mengikat perut kerana sudah biasa melalui kehidupan susah sejak kecil, malah tidak pernah menghubungi keluarganya di kampung di Dungun meminta wang saku.

“Saya tidak pernah menangis kerana tidak dapat makan, namun air mata saya pernah mengalir apabila ada sesetengah individu mengejek kerana kemiskinan saya dan tidak layak untuk berkawan dengan mereka.

“Kejadian seperti ini menjadi pembakar semangat saya untuk terus berjaya, selain bantuan berterusan disalurkan UniSZA, antaranya memberi komputer riba, wang zakat, bantuan makanan, wang saku bagi membolehkan saya terus menuntut ilmu,” kata siswi itu.

Sementara itu, timbalan naib canselor UniSZA Dr Nik Wan Omar dalam laporan sama berkata universiti menawarkan pelbagai saluran kebajikan seperti tabung kebajikan dan tabung zakat.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Hamzah Zainuddin pula berkata kad diskaun siswa 1Malaysia (KDS1M) akan ditambah baik bagi membantu mengurangkan beban kos sara hidup penuntut institusi pengajian tinggi.


Mesyuarat Jawatankuasa Peringkat Tertinggi Menangani Kos Sara Hidup 2016 yang diadakan semalam di Putrajaya bersetuju dengan cadangan itu.

Namun perbincangan secara mendalam mengenainya belum dibuat lagi, kata Hamzah seperti dilapor.


No comments