Terkini

Ribuan 'Datuk', 'Datuk Seri' tidak iktiraf, Sanggup bayar sejumlah wang untuk perolehi anugerah

SEMALAM, sepatutnya berlangsung majlis penganugerahan darjah dan pingat oleh seorang wanita yang mendakwa dirinya Raja Kerinchi Tinggi Sumatera. Berdasarkan kad jemputan majlis itu akan diadakan di Sungai Rambai Melaka.


Ribuan 'Datuk', 'Datuk Seri' tidak iktiraf
Saripah Murliani (tengah depan) yang mendakwa dirinya Raja Kerinchi Tinggi Sumatera atau Bonda Ratu dalam satu majlis rumah terbuka sempena Aidilfitri pada 31 Ogos 2013 di Sungai Rambai, Melaka. 
Bagaimanapun kepantasan pihak polis menahan wanita itu berjaya menghalang satu lagi penganugerahan darjah dan pingat yang tidak diiktiraf oleh kerajaan.

Hakikatnya, majlis seumpama itu bukanlah pertama kali berlaku malah sudah beberapa kali diadakan sehingga mewujudkan ramai yang bergelar 'Datuk' dan 'Datuk Seri' palsu.

Persoalannya, kenapa perbuatan yang dianggap menghina institusi raja-raja tidak mampu dibanteras? Apakah puncanya? Apa modus operandi di sebalik penganjuran majlis tersebut?


Dalam laporan khas kali ini, wartawan Mingguan Malaysia, ZULKIFLEE BAKAR dan MOHAMMAD YASIR JAAFAR mendedahkan 'kegilaan' menganugerahkan darjah dan pingat oleh individu yang mendakwa mereka berasal daripada keturunan raja atau pewaris sesuatu kesultanan.

KUALA LUMPUR 9 Jan. - Tiada undang-undang khusus bagi mengawal perbuatan individu tertentu menganugerahkan darjah dan pingat sesuka hati dengan menggunakan pelbagai gelaran memungkinkan jumlah mereka yang bergelar 'Datuk' dan 'Datuk Seri' tidak diiktiraf oleh kerajaan mencecah ribuan orang.

Sumber memberitahu, ia berdasarkan jumlah penerima setiap kali majlis tersebut diadakan iaitu antara 100 hingga 200 orang.

"Dalam setahun tidak kurang tujuh majlis penganugerahan pingat dan darjah yang tidak diiktiraf oleh kerajaan negara ini diadakan setiap tahun.

Kalaulah untuk satu majlis ia melibatkan 100 penerima, kalau tujuh majlis sudah 700 orang penerima. Kiralah berapa banyak pingat dan darjah yang diberikan. Tambahan pula majlis seumpama itu sudah berlanjutan sekian lama," kata sumber tersebut kepada Mingguan Malaysia.

Kontroversi berhubung darjah dan pingat yang tidak diiktiraf sudah lama berlaku di negara ini, ia termasuklah melibatkan individu yang mengaku 'Sultan Melaka', wanita tukang urut mendakwa sebagai 'Raja Kerinchi Tinggi Sumatera, Indonesia' atau Bonda Ratu, Kesultanan Sulu yang dianugerah oleh Jamalul Kiram III, keturunan Naning dan Raja Sukakata, Paku Buwono XIII.

Walaupun susun galur keturunan yang didakwa oleh individu-individu berkenaan khususnya daripada negara ini amat meragukan dan boleh dipertikaikan, namun tetap wujud individu lain sanggup menerima pingat yang dianugerahkan.

"Kalau dilihat kepada sebut gelaranpun sudah meragukan apabila ada antara mereka sewenang-wenangnya memakai gelaran 'Duli Yang Maha Mulia...' sedangkan ia hanya layak digunakan oleh raja-raja Melayu yang sah," kata sumber itu.


Kesemua anugerah oleh individu berkenaan melibatkan darjah atau pingat membawa gelaran 'Datuk' atau 'Datuk Seri', malah difahamkan ada pula yang sanggup menukar gelaran 'Datu' kepada 'Datuk'.

Ketika ditanya kenapakah individu tertentu begitu beria-ia benar mahu mendapatkan gelaran 'Datuk' dan 'Datuk Seri', sumber itu berkata, melalui gelaran tersebut ia boleh meningkatkan imej mereka di mata masyarakat.

"Kalau sekadar untuk menaikkan imej sahaja tidak ada masalah tetapi malangnya siasatan juga menunjukkan ada yang menyalahgunakan anugerah itu bagi tujuan jenayah termasuk melakukan penipuan dalam perniagaan," kata sumber itu.

Sumber berkenaan juga mendakwa, sebahagian besar penerima pingat atau darjah membawa gelaran 'Datuk' dan 'Datuk Seri' tidak mempunyai apa-apa jasa yang boleh dibanggakan, malah ada antara berusia awal 20-an. - Sumber: Utusan Online




No comments