Serpihan pesawat yang ditemui di Besut, bukan milik MH370

KUALA LUMPUR: Serpihan pesawat yang ditemui di Pantai Kampung Benting Lintang, Besut, Terengganu bukan daripada pesawat Penerbangan Malaysia MH370.


Serpihan pesawat di Besut, bukan milik MH370
Gambar: Kosmo
Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, hasil penelitian dan siasatan pasukan penyiasat Jabatan Penerbangan Awam (DCA) mendapati serpihan itu tidak sepadan dengan pesawat jenis Boeing 777.


BACA: MAS, DCA Siasat Serpihan Logam Ditemui di Besut

“Kementerian Pengangkutan mengucapkan terima kasih kepada semua agensi yang berkaitan membantu proses pengecaman serpihan ini.

“Kami akan terus komited untuk mencari pesawat MH370 dan terus melaporkan kepada keluarga dan orang ramai mengenai sebarang perkembangan lanjut,” kata beliau menerusi satu kenyataan di sini semalam.

Terdahulu, dua pegawai Jabatan Penerbangan Awam (DCA) dan seorang wakil Penerbangan Malaysia (MAS) dari ibu negara mengambil masa sejam memeriksa serpihan logam yang ditemui di Pantai Kampung Benting Lintang di sini Rabu lalu.

Pegawai DCA, Kapten Mior Nor Badrishah berkata, pihak­nya akan menyerahkan laporan siasatan mereka berhubung penemuan serpihan logam itu kepada Ketua Pengarah DCA dan Kementerian Pe­ngangkutan dalam masa terdekat.

Mior dan pegawai-pegawai­nya kelihatan mengambil gambar dan membuat catatan ketika memeriksa serpihan separuh melengkung berukuran tiga meter panjang dan dua meter lebar berwarna putih yang telah agak luntur warnanya dan tidak mempunyai sebarang tulisan ataupun nombor. -Kosmo!



No comments