Skandal 1MDB, dana RM2.6 bilion, kes berlainan kata peguam negara

Siasatan ke atas syarikat bermasalah 1 Malaysia Development Berhad (1MDB) masih berterusan dan Jabatan Peguam Negara komited untuk berkerjasama dengan pihak berkuasa antarabangsa, kata Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali.



Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali
Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali berkata kes derma kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berbeza dengan kes 1MDB. – Gambar fail The Malaysian Insider, 30 Januari, 2016. 
Beliau berkata skandal Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak membabitkan syarikat 1MDB dan kes derma RM2.6 bilion merupakan 2 kes yang berlainan yang tidak harus dicampurkan.

"Beberapa siasatan (ke atas 1MDB) termasuk Jawatankuasa Perhubungan Awam, Polis Diraja Malaysia dan Jabatan Audit Negara kini masih berjalan.


"Bercanggah dengan laporan media, siasatan ke atas kes derma kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berbeza dengan kes 1MDB," katanya.
Apandi berkata demikian mengulas kenyataan peguam negara Switzerland yang mendakwa terdapat sejumlah wang AS$4 bilion mungkin disalah guna syarikat Malaysia.

Pendedahan itu susulan daripada siasatan ke atas 2 bekas pegawai 1MDB.

Katanya, pihak berkuasa Malaysia akan memgumpul kesemua fakta berhubung 1MDB dan akan bekerjasama dengan agensi penguatkuasa undang-undang luar negara.

Apandi berkata, Jabatan Peguam Negara Switzerland meminta bantuan Malaysia berhubung bantuan perundangan ke atas siasatan dana, dan pejabanya akan bekerjasama.

"Pejabat saya akan mengambil segala langkah berkemungkinan untuk mengikuti dan bekerjasama dengan pihak berkuasa Switzerland dan kita menunggu untuk menerima segala keputusan berhubung siasatan dan kandungan melalui saluran yang normal.

"Kesemua kandungan ini akan disemak semula bersama dengan keputusan pihak berkuasa yang relevan dan siasatan dari kita sendiri untuk menentukan tindakan yang bersesuaian," katanya.

Selasa lalu, Apandi mengumumkan Najib tidak melakukan sebarang kesalahan berhubung kes dana RM2.6 bilion dan peranannya dalam Kabinet meluluskan jaminan kerajaan untuk pinjaman sebanyak RM4 bilion kepada syarikat milik kementerian kewangan , SRC International.

Apandi juga mengumumkan beliau menolak permintaan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk mendapatkan kerjasama bantuan perundangan bagi arahan memperolehi maklumat berhubung siasatan RM2.6 bilion memandangkan tidak ada bukti mengenai salah laku derma tersebut.

Namun hari ini, Apandi menekankan isu derma RM2.6 bilion dan siasatan ke atas 1 MDB adalah 2 kes berbeza.

"Pejabat Peguam Negara berulangkali menyemak laporan daripada SPRM dan seperti diumumkan tiada bukti salah laku dan mengarahkan kes tersebut ditutup.

"Cubaan organisasi media untuk mencampurkan dua kes siasatan itu adalah tindakan tidak bertanggungjawab dan prejudis," katanya. – themalaysianinsider 30 Januari, 2016.



No comments