Suami nampak lelaki terbongkok-bongkok ketika isteri sedang tidur

Jempol: “Saya nampak kelibat seorang lelaki berparang membongkok ke arah isteri yang sedang tidur. “Saya kemudian segera menjerit menyebabkan lelaki itu terkejut dan melarikan diri,” kata Barjah Suratkon, 62, menceritakan kejadian samun yang berlaku di rumahnya di Felda Lui Barat, di sini, semalam.


BARJAH menceritakan kejadian samun di rumah sambil diperhati isterinya, Maria.

Menurutnya, dalam kejadian jam 2 pagi, lelaki berusia 20-an terbabit memecah masuk rumahnya dan melarikan rantai emas dipakai isteri serta barangan berharga lain membabitkan kerugian RM6,000.


Barjah yang menghidap penyakit asma kronik berkata, ketika kejadian dia tidur di atas katil di ruang tamu manakala isteri, Maria Abd Majid, 63, tidur atas tilam sebelahnya.

“Saya akan terjaga pada awal pagi kerana perlu mengambil oksigen kerana penyakit asma kronik. Apabila terjaga, saya melihat seorang lelaki berparang membongkok ke arah isteri.

“Saya menjerit, tetapi pencuri sempat mengambil rantai di leher isteri sebelum melarikan diri. Isteri terjaga apabila terdengar jeritan saya, nasib baik dia tidak dicederakan,” katanya.

Menurutnya, pencuri dipercayai turut melarikan wang tunai RM1,300, telefon bimbit dan dokumen peribadi yang disimpan di dalam bilik.

Ketua Polis Daerah Jempol Superintendan Noorzainy Mohd Noor berkata, mangsa membuat laporan di Balai Polis Ayer Hitam. - myMetro



No comments